Hanya pelajar China kibar bendera negara itu - Pengetua

Iklan
Pelajar sekolah berkenaan termasuk pelajar dari China memegang bendera negara masing-masing dalam kunjungan tersebut.

GEORGE TOWN - Sekolah Menengah Chung Ling (Persendirian) di Air Itam di sini mengesahkan bahawa hanya pelajar dari negara China yang mengibar bendera negara tersebut dalam satu majlis yang diadakan di sekolah terbabit minggu lalu.

Pengetua sekolah berkenaan, Ng Jooi Seah berkata, pelajar tempatan tidak mengibar bendera China sebaliknya mengibarkan bendera Malaysia dan Pulau Pinang.

Iklan
Iklan

"Lawatan tersebut merupakan kunjungan silaturahim yang dibuat berdasarkan hubungan pelajar dengan pelajar.

"Tiada nyanyian lagu negara China malah tiada ucapan daripada mana-mana wakil mereka pun. Yang ada hanya aktiviti sukan, persembahan kebudayaan dan persembahan pelajar sekolah.

Iklan

Hanya pelajar dari China yang mengibar bendera negara mereka manakala pelajar tempatan mengibar bendera Malaysia dalam majlis yang sama.

"Kunjungan itu juga diuruskan oleh Pejabat Konsulat General China di Pulau Pinang," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Iklan

Sebelum ini, tular dua keping gambar yang dimuat naik di media sosial memaparkan pelajar sebuah sekolah menengah swasta di Pulau Pinang memegang bendera China.

Hantaran tersebut menunjukkan satu gambar berkumpulan antara pelajar sekolah, guru dan tetamu jemputan yang dipercayai dari China di dalam satu majlis.

Kesemua pelajar dari China yang belajar di Sekolah Menengah Chung Ling (Persendirian) bergambar bersama wakil negara itu yang mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan pada minggu lalu.

Dalam pada itu, Jooi Seah berkata, tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan gambar memaparkan pelajar di sekolah itu dengan membuat pelbagai spekulasi adalah amat dikesali.

Menurutnya, ia adalah perkara biasa bagi pelajar negara luar untuk mengibarkan bendera negara mereka pada majlis yang dihadiri oleh wakil dari negara masing-masing.

"Saya agak terkilan kerana dalam banyak-banyak gambar yang diambil, gambar pelajar sekolah mengibar bendera China yang tular dan dispekulasi, sedangkan gambar pelajar tempatan yang mengibar bendera Malaysia tidak pula ditularkan.

"Kita ada lebih 1,900 pelajar (Tingkatan Satu hingga Lima) yang mana, 33 daripada mereka merupakan pelajar dari China. Mereka ini 'second home' di Malaysia.

"Oleh itu, apabila ada program melibatkan wakil dari negara mereka, maka mereka akan mengibar bendera mereka sendiri. Sama juga jika pelajar Malaysia di luar negara, jika ada program melibatkan kedutaan atau menteri, mereka juga akan mengibarkan bendera Malaysia, itu sahaja," katanya.

Jelas beliau, sekolah tersebut sebelum ini pernah menerima kunjungan dari negara luar antaranya Singapura, Thailand dan Indonesia.

Pelbagai program disediakan dalam lawatan tersebut termasuk acara sukan.

"Ini adalah kunjungan pertama dari China namun kami pernah menerima kunjungan daripada wakil dari negara-negara luar lain.

"Sebelum ini tiada masalah, tidak pasti kenapa kali ini, ia menjadi isu besar. Mungkin ada salah faham menyebabkan ia menjadi perhatian dalam kalangan masyarakat," katanya.

Minggu lalu, Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan kedatangan 1,000 pelatih tentera laut China ke negeri ini untuk kunjungan silaturahim.

Pasukan tugas ke-83 Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) itu menaiki dua buah kapal iaitu Kapal Latihan Qi Jiguang dan Kapal JinggangShan dari Zhanjiang, China.