Lelaki dikaitkan GISBH dituduh esok kes jenayah seksual remaja

Iklan
Razarudin

KUALA LUMPUR - Seorang individu yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor pada Ahad atas pertuduhan jenayah seksual membabitkan remaja berusia 16 tahun.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, lelaki berusia 20 tahun itu akan menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Iklan
Iklan

"Lelaki terbabit ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada 1 Oktober lepas selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa.

"Mangsa mendakwa lelaki berkenaan melakukan perbuatan tidak senonoh terhadapnya sebanyak dua kali pada Jun lepas," katanya pada Sabtu.

Iklan

Sementara itu, Razarudin berkata, tiga individu termasuk seorang wanita yang dikaitkan dengan GISBH turut dihadapkan di mahkamah sama esok bagi menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 12 Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, tiga individu terbabit berusia 28 hingga 57 tahun itu bekerja di sebuah pusat peranginan milik GISBH.

Iklan

"Ketiga-tiga mereka ini akan didakwa bersama dua lagi suspek wanita yang masih bebas berusia 60 dan 36 tahun," ujarnya.

Jelasnya, keputusan tersebut dibuat selepas kertas rujukan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada 7 Oktober lepas dan hasil perbincangan dalam mesyuarat penyelarasan tindakan Jenayah Terancang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) pada Jumaat.

Katanya, siasatan mendapati mereka memperdagangkan empat individu berusia 30 hingga 57 tahun bagi tujuan eksploitasi kerja paksa dengan cara ancaman.

Razarudin berkata, mereka ini turut didapati mengeksploitasi dengan cara perkahwinan paksa dan dijodohkan dengan peringkat atasan, tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit, pasangan hanya boleh berjumpa sekali atau dua kali dalam tempoh sebulan.

"Selain itu, kanak-kanak berusia lima tahun ke atas akan dipisahkan daripada ibu atu bapa dan ditempatkan di rumah amal," katanya.