Nahas pelajar UiTM: 'Ibu ayah belum buat keputusan jumpa suspek'

Iklan
Mohamad Fahrulradzi (kiri) bersama arwah Muhammad Akmal.

SHAH ALAM - Keluarga masih belum boleh membuat keputusan untuk pertemuan dengan suspek wanita yang terlibat dalam kemalangan menyebabkan kematian Muhammad Akmal Md Tukirin.

Mohamad Fahrulradzi Md Tukirin berkata, buat masa sekarang kedua ibu bapanya, Md Tukirin Saringat, 60, dan Rafeah Buang, 50, masih belum tidur dan makan sejak kejadian meragut nyawa anak kedua daripada empat beradik itu.

Iklan
Iklan

"Tak tahu lagi, masih belum berfikir tentang perkara itu, ibu bapa saya pun buat masa ini masih belum boleh makan dan minum. Tidur pun tak mahu.

"Mereka belum boleh berfikir benda lain, teringat anak. Mungkin selepas ini, keadaan reda mereka akan stabil sedikit," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Sebelum ini, pihak pengurusan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) cawangan Terengganu akan membantu mengatur pertemuan antara keluarga mangsa dan suspek wanita yang terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kematian pelajarnya pada Rabu lepas.

UiTM cawangan Terengganu dalam kenyataan pada Sabtu berkata, usaha tersebut dibuat atas permintaan keluarga suspek yang berhasrat untuk menyampaikan permohonan maaf menerusi pertemuan empat mata dengan tiga keluarga mangsa.

Iklan

Pada malam Rabu, tiga pelajar UiTM Dungun maut manakala seorang lagi parah selepas terbabit dalam kemalangan di hadapan universiti berkenaan.

Tiga pelajar terbabit, Khairil Anwar Jamaludin, 20, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dan Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, meninggal dunia apabila dua motosikal jenis Yamaha LC135 serta Yamaha Y15 yang ditunggangi mereka dirempuh kenderaan Honda CRV dipandu seorang wanita.

Mangsa yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke universiti selepas makan malam dilaporkan turut diseret hampir 60 meter.

Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu wanita yang dipercayai mengalami masalah mental dibawa ke balai polis untuk dirakam keterangan.