DUNGUN -"Saya percaya dengan ketentuan takdir dan menganggap kemalangan menimpa anak saya sebagai ujian," luah bapa kepada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun yang cedera dalam kemalangan di hadapan universiti berkenaan pada Rabu lalu.
Mohammad Ridhuan Mohd Sharif, 52, yang berasal dari Keramat, Kuala Lumpur itu berkata, dia juga tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap keluarga suspek wanita tersebut.
Mohammad Ridhuan berkata, dia dan isteri juga memaafkan suspek wanita dan keluarganya yang telah menerima persepsi negatif daripada orang ramai susulan kejadian yang berlaku.
"Saya anggap apa yang terjadi ini sudah ditakdirkan. Kalau kita fikir siapa yang mengizinkan untuk dia (suspek) mengambil kunci kereta dan memandu kereta sehingga terjadinya kemalangan tersebut.
"Dia (suspek) juga tidak sihat. Saya tak salahkan dia dan keluarganya atas kejadian yang berlaku.
"Tidak menjadi masalah sekiranya keluarga itu nak datang jumpa kami atau melawat Amar (Muhammad Amar Danish)," katanya ketika ditemui di Hospital Dungun di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Muhammad Ridhuan turut mendoakan agar anak keduanya itu sembuh dengan segera selain dapat meneruskan pengajian seperti biasa.
"Amar sudah dibenarkan keluar dari hospital dan semua urusan pulang termasuk kenderaan akan diuruskan sepenuhnya oleh pihak pengurusan UiTM.
"Alhamdulillah.... Amar semakin sihat dan dah tak meracau, mengigau seperti dua malam lepas, malah rakan-rakannya dari Kuala Lumpur juga ramai datang melawat dia pada hari ini.
"Sebenarnya doktor dah bagi kebenaran untuk pulang hari ini tetapi pihak UiTM perlu uruskan dokumen berkaitan dan pengangkutan.
"Insya-ALLAH...esok sudah boleh balik ke Kuala Lumpur," ujarnya.
Dalam kejadian pada jam 7.35 malam itu, tiga pelajar UiTM Kampus Dungun maut, manakala seorang lagi rakan mereka parah selepas dua motosikal yang dinaiki mereka dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Pantai, berhadapan UiTM Dungun.
Tiga mangsa yang meninggal dunia adalah Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dari Muar, Johor; Ku Adib Ku Azmi, 20, dari Sungai Buloh, Selangor dan Khairil Anwar Jamaludin, 20, dari Ampang, Selangor.
Manakala Muhammad Amar Danish Mohammad Ridhuan, 20, dari Kuala Lumpur cedera di pinggang dan sedang dirawat di Hospital Dungun.