SHAH ALAM - Ibu kepada Allahyarham Ku Adib Aizad Ku Azmi menyatakan tiada masalah untuk menghadiri pertemuan dengan suspek wanita yang terlibat dalam kemalangan meragut nyawa anak sulungya.
Penolong Pengarang Berita, Berita Harian, Hafizah Iszahanid berkata, dengan izin ALLAH, dia akan menghadiri pertemuan itu jika diadakan.
"Insya-ALLAH, tak ada masalah. Alhamdulillah. Saya dan suami sekarang baik-baik sahaja.
"Saya tiada apa-apa harapan untuk pertemuan tersebut," katanya ringkas kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Sebelum ini, pihak pengurusan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) cawangan Terengganu akan membantu mengatur pertemuan antara keluarga mangsa dan suspek wanita yang terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kematian pelajarnya pada Rabu lepas.
UiTM cawangan Terengganu dalam kenyataan pada Sabtu berkata, usaha tersebut dibuat atas permintaan keluarga suspek yang berhasrat untuk menyampaikan permohonan maaf menerusi pertemuan empat mata dengan tiga keluarga mangsa.
Pada malam Rabu, tiga pelajar UiTM Dungun maut manakala seorang lagi parah selepas terbabit dalam kemalangan di hadapan universiti berkenaan.
Tiga pelajar terbabit, Khairil Anwar Jamaludin, 20, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dan Ku Adib Aizad, 20, meninggal dunia apabila dua motosikal jenis Yamaha LC135 serta Yamaha Y15 yang ditunggangi mereka dirempuh kenderaan Honda CRV dipandu seorang wanita.
Mangsa yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke universiti selepas makan malam dilaporkan turut diseret hampir 60 meter.