Program MM2H: MOTAC lancar siasatan kenal pasti ejen sebar maklumat salah

Iklan
Tiong King Sing

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah melancarkan siasatan bagi mengenal pasti ejen Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang bertanggungjawab menyebarkan maklumat salah berhubung program berkenaan.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya mendapat aduan daripada pemohon termasuk dakwaan bahawa program itu masih belum beroperasi dan permohonan tidak akan diterima.

Iklan
Iklan

Beliau turut mengingatkan ejen terbabit supaya berhenti menyebarkan khabar angin dan maklumat palsu tentang program MM2H kerana ia boleh mengelirukan pemohon.

"Kami tidak mahu tindakan tidak bertanggungjawab seperti ini menjejaskan serta memberi kesan negatif kepada program MM2H atau menyebabkan kerosakan lebih teruk dan tindakan ejen terbabit menghalang usaha kami untuk mempromosikan MM2H di peringkat antarabangsa.

Iklan

"Ini adalah satu amaran kepada mana-mana ejen yang sengaja menyebarkan maklumat palsu, mengelirukan orang ramai atau mengaut keuntungan daripada tindakan ini kerana mereka akan menerima akibat yang serius,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

King Sing berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas termasuk menyenarai hitam ejen terbabit, pengarah dan pemegang saham syarikat mereka sebaik sahaja individu yang bertanggungjawab dikenal pasti.

Iklan

Beliau juga berkata, program MM2H telah dilancarkan semula dan dibuka kepada pemohon yang layak manakala sistem permohonan dalam talian masih di peringkat ujian untuk memastikan ia beroperasi dengan lancar.

Menurutnya, tindakan membuka permohonan secara dalam talian terlalu awal tanpa memastikan keutuhannya boleh menyebabkan kegagalan yang akan menjejaskan sistem kerajaan dan mengurangkan keyakinan pemohon, oleh itu beliau berharap pemohon boleh bersabar sementara sistem itu diperhalusi.

"Sementara itu, permohonan akan diterima melalui saluran lain. Kami amat menggalakkan semua pemohon berpotensi untuk mendapatkan maklumat terus daripada sumber rasmi dan mengelak daripada terpedaya dengan laporan tidak rasmi,” katanya.

Untuk maklumat lanjut dan terkini, pemohon boleh melayari laman sesawang rasmi MOTAC, menghubungi Helpdesk OSC MM2H (03-8891 7434; 03-8891 7439; 03-8891 7427) atau e-mel kepada mm2h@motac.gov.my. - Bernama