Lori tangki minyak sawit terbabas, terbakar di lebuh raya

Iklan
Sebuah lori tangki muatan minyak sawit terbakar selepas terbabas di Kilometer (KM) 44.6 Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) arah ke Utara pada Sabtu.

NILAI - Sebuah lori tangki muatan minyak sawit terbakar selepas terbabas dan masuk ke laluan bertentangan dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 44.6 Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) arah ke Utara pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu berlaku semasa lori yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berumur 53 tahun dalam perjalanan dari Jasin ke Klang.

Iklan
Iklan

"Bagaimanapun, setiba di lokasi kejadian, lori tersebut gagal dikawal lalu terlanggar sebuah kereta jenis Proton Saga yang sedang dipandu di lorong kanan dan menyebabkan kereta berkenaan berpusing serta melintang di tengah lebuh raya.

"Selepas itu, lori tangki telah melanggar besi penghadang jalan sebelah kanan sehingga memasuki laluan arah bertentangan sebelum berhenti di lorong kecemasan dalam keadaan terbakar," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Katanya, akibat daripada kemalangan ini menyebabkan serpihan kenderaan berterabur di atas lebuhraya dan menyebabkan dua lagi kereta iaitu kereta jenis Perodua Bezza dan Mazda CX3 yang dari arah bertentangan terlanggar serpihan tersebut.

"Pemandu wanita kereta Proton Saga berusia 21 tahun yang mengalami kecederaan ringan telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban bagi mendapatkan rawatan manakala lain-lain mangsa yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.

Iklan

"Berikutan itu, kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak Polis Daerah Nilai di talian 06-7904389 (Pusat Kawalan Daerah Nilai).

"Boleh juga menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Inspektor Muhammad Farid Danial Azli di talian 012-9122198," kataya.