Belanjawan 2025 tumpu pulihkan semula sistem pendidikan - Pakar

Iklan
Kerajaan dicadangkan memasukkan beberapa inisiatif dan tumpuan pendidikan dalam Belanjawan 2025 bagi memulihkan semula sistem pelajaran negara. Gambar hiasan. Gambar kecil: Anuar

SHAH ALAM - Kerajaan dicadangkan memasukkan beberapa inisiatif dan tumpuan pendidikan dalam Belanjawan 2025 bagi memulihkan semula sistem pelajaran negara.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, antara inisiatif itu ialah meningkatkan akses pendidikan awal kepada semua kanak-kanak yang mencapai berumur enam tahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan dicadang menyediakan lebih banyak kemudahan prasekolah, tadika dan tabika di seluruh negara.

"Bagi kumpulan isi rumah miskin dan B40, kerajaan dicadang menyediakan bantuan dalam bentuk subsidi untuk yuran prasekolah swasta di kawasan yang tidak mempunyai pusat didikan kerajaan itu.

Iklan

"Penyediaan lebih banyak prasekolah kerajaan dan subsidi yuran prasekolah swasta ini kepada golongan miskin akan meningkatkan kadar literasi dan numerasi murid di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ujar beliau, pada Belanjawan 2024 yang lalu, sebanyak RM788 juta telah disediakan untuk program Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Iklan

Jelasnya, peruntukan tersebut secara langsung telah memberi manfaat lebih sejuta murid miskin di seluruh negara dan sehubungan itu, dicadangkan supaya program RMT diteruskan dan ditambah bilangan peserta.

Selain itu, menurutnya, penstrukturan semula jumlah pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang dinikmati lima juta murid dilakukan dalam Belanjawan tahun ini.

"Mengambil kira kemampuan peruntukan kerajaan yang terhadap pemberian BAP secara sama rata tidak begitu sesuai diamalkan lagi. Terdapat murid yang lebih memerlukan BAP bagi tujuan persekolahan berbanding murid lain lebih kaya dan mampu.

"Sehubungan itu, BAP seharusnya disusun semula dengan perkadaran yang lebih munasabah. Misalnya kategori T20-RM100, M40-RM150 dan B40-RM200," katanya.

Menurut beliau, pada pasca pandemik sektor pendidikan negara telah mengalami berbagai cabaran besar.

Ujarnya, antaranya seperti keciciran, jurang pendidikan antara wilayah, kedaifan kemudahan sekolah dan kekurangan guru yang membawa kepada pencapaian kualiti pendidikan tidak menggembirakan, malah mendukacitakan kita semua.

"Misalnya, pencapaian negara di dalam penilaian Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 yang merosot teruk, penurunan bilangan murid dalam aliran Sains Tulen, hampir 50 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lagi mahu menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan laporan keciciran literasi serta pembelajaran yang membimbangkan oleh Bank Dunia pada April 2024.

"Jelas pada kita, sistem pendidikan negara sedang melalui krisis pendidikan yang memerlukan pemulihan segera secara besar-besaran dan menyeluruh. Bajet 2025 diyakini dapat memulihkan semula pencapaian dan kualiti sistem pendidikan negara," katanya.

Tambah Anuar, kerajaan juga wajar mewartakan asrama harian sebagai institusi bantuan pendidikan hanya kepada murid miskin.

Katanya lagi, manakala sekolah asrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sebagai pusat institusi bantuan pendidikan murid miskin berprestasi paling cemerlang.

"Selain itu, pembinaan lebih banyak sekolah baru rendah dan menengah di kawasan bandar perlu dilaksanakan bagi yang sedang berhadapan dengan isu sekolah sesak murid.

"Peruntukan pendidikan digital untuk semua sekolah juga perlu ditingkatkan. Kerajaan patut bekerjasama dengan pihak industri bagi memulakan program 'sekolah angkat digital'," katanya.

Dalam pada itu, menurut Anuar, Belanjawan 2025 juga perlu diisi dengan meningkatkan peruntukan untuk menambahkan bilangan murid dalam aliran Sains Tulen dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Ujar beliau, kerajaan juga perlu merancang menambahkan bilangan institusi yang menawarkan latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

"Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disarankan mula menyediakan kerangka dasar untuk memulakan aliran TVET di Tingkatan Satu," katanya.

Seterusnya, beliau mencadangkan peruntukan khas diumumkan bagi menaiktaraf semua bilik guru dan kuaters penginapan kumpulan itu khususnya di sekolah kawasan pedalaman.

Anuar juga memohon untuk elaun guru Semenanjung yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak dinaikkan di dalam Bajet 2025.

"Begitu juga dengan elaun guru berasal dari Sabah dan Sarawak yang berkhidmat di Semenanjung.

"Bajet 2025 adalah solusi terbaik untuk memulihkan kembali sistem pendidikan negara. Semoga isu keciciran murid, sekolah daif, kebajikan guru, STEM, TVET dan kemudahan digital menjadi teras utama Bajet 2025 untuk sektor pendidikan," ujarnya.