BERA - Runtuhan di bahu jalan yang menghubungkan tanah rancangan Felda Zon Bera ke Felda Bera Selatan di sini pada Sabtu menyebabkan ia ditutup kepada semua kenderaan.
Dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, runtuhan membabitkan laluan sepanjang 10 meter (m) dan kelebaran 16m di Kilometer (KM) 20 Jalan Bera-Melati menyebabkan kedua-dua lorong laluan tidak boleh digunakan oleh pengguna.
Ketua Polis Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, kejadian berlaku susulan hujan lebat berterusan beberapa jam pada waktu malam.
"Polis menerima makluman orang awam tentang kejadian mendapan di lokasi kejadian.
"Jurutera jalan telah dihubungi dan lencongan jalan dari arah Melati hendak ke Bera dilencongkan di Jeti Sudin melalui Felda Triang dan penutupan jalan juga dibuat dari arah Bera ke Melati," tambahnya.
Jelas beliau, penutupan jalan itu bermula Sabtu sehingga kerja-kerja baik pulih siap sepenuhnya.
Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Bera melaporkan hujan lebat berserta limpahan air sungai menyebabkan runtuhan bahu jalan dan jalan.
"Ia juga menyebabkan kerosakan pembetung jenis box (triple) saiz kembar 2mx2m dan saiz single 2.3mx2.8m.
"Pemasangan pelan pengurusan trafik di kawasan runtuhan serta tanda amaran lencongan sudah dilakukan," katanya.
Ujarnya, pemantauan berterusan di kawasan runtuhan dilaksanakan Roadcare (M) Sdn. Bhd. (RCSB) daripada masa ke semasa.