Aiman Athirah syor kaji semula kadar parkir HSIS

Iklan
Kadar bayaran parkir di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang perlu dikaji semula dan disesuaikan dengan konsep rahmah dengan turut mengambil kira tempoh menunggu untuk mendapatkan rawatan. Gambar kecil: Aiman Athirah

SHAH ALAM - Kadar bayaran parkir di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang perlu dikaji semula dan disesuaikan dengan konsep rahmah dengan turut mengambil kira tempoh menunggu untuk mendapatkan rawatan.

Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, pihaknya komited memastikan penyelesaian komprehensif dapat dilakukan semua agensi terlibat demi keselesaan dan keselamatan penduduk setempat serta pesakit yang datang ke hospital.

Iklan
Iklan

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu menyuarakan langkah tersebut bagi mengurangkan beban yang pesakit atau pengunjung hadapi.

"Kami akan membuat susulan demi susulan, sehingga berjaya dilakukan.

Iklan

"Saya telah mengangkat isu ini kepada perhatian Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Tambah Aiman Athirah, sememangnya menjadi komitmen kerajaan Madani untuk memberi tumpuan kepada menyelesaikan masalah rakyat, sekali gus mengangkat martabat insan.

Iklan

Ujarnya, masalah parkir di HSIS bukan sahaja telah menyusahkan pesakit dan keluarga datang untuk mendapatkan rawatan, tetapi juga menambah kesulitan kepada mereka yang sudah sedia menghadapi cabaran.

"Setiap kali melawat hospital, mereka terpaksa berhadapan dengan kesesakan yang mengganggu aliran trafik, menyebabkan ketidakselesaan dan kekhuatiran, terutamanya bagi mereka yang perlu mendapatkan rawatan segera.

"Bayangkan betapa sukarnya bagi ibu bapa yang membawa anak kecil yang sakit atau warga emas yang memerlukan rawatan segera, namun terpaksa berpusing-pusing mencari tempat parkir," katanya.

Jelas beliau, masalah parkir di HSIS ini juga bukan sahaja menyebabkan kesulitan kepada pengunjung, malah turut memberi kesan negatif kepada kelancaran aliran trafik di sekitar kawasan hospital.