Bawa pasukan MALBATT pulang

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.

SHAH ALAM - Kerajaan digesa segera menggerakkan misi membawa pulang Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 di Lubnan daripada terus berdepan risiko serangan dan kegilaan Israel yang sudah sukar dibendung.

Pakar Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata, serangan yang sebelum ini turut mencederakan askar Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (INIFIL) di Lubnan adalah tanda-tanda awal bahawa Malaysia perlu mengambil langkah mengelakkan diri daripada terlibat dalam konflik tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, aset keselamatan pasukan yang menjalankan misi pengaman di Lubnan juga tidak setanding dengan senjata dimiliki Israel, yang mana boleh memberi kesan dahsyat dan mengorbankan anggota MALBATT sekiranya berlaku serangan.

"Saya melihat memang perlu dibuat dalam masa yang segera, sebab kejahatan Israel ini memang dah tak boleh dibendung, di luar batasan kemanusiaan.

Iklan

"Tetapi perkara ini (bawa pulang anggota MALBATT) sebenarnya kita perlu mendapat mandat daripada PBB sebab pasukan kita beroperasi di sana pun atas mandat pertubuhan tersebut.

"Jadi kalau dapatkan yakinkan PBB supaya semua tentera yang terlibat itu pulang ke negara masing masing, itu yang terbaik sebab Israel memang ada rancangan untuk menguasai di sana terutamanya di bahagian selatan yang tidak jauh daripada UNIFIL,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.

Iklan

Beliau berkata demikian mengulas mengenai gambaran sebenar jaminan keselamatan pasukan MALBATT 850-11 di Lubnan, susulan pendedahan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengenai pasukan itu yang berdepan detik cemas apabila diarahkan berlindung di dalam kubu dan tidak melaksanakan operasi ronda susulan provokasi oleh tentera Israel.

Bagaimanapun menurut Mohamed Khaled, pihaknya memberi jaminan sentiasa mengutamakan keselamatan pegawai dan pasukan berkenaan yang sedang bertugas dalam misi pengaman di bawah UNIFIL.

Mengulas lanjut, Mohd Mizan berkata, PBB sendiri perlu segera mengeluarkan keputusan status pasukan tentera pengaman di Lubnan dengan melihat semua aspek terutamanya faktor keselamatan setiap anggota pengaman yang dihantar, dalam masa sama berusaha sebaiknya untuk memberhentikan konflik itu.

Jelas beliau, ia bahkan akan lebih memudahkan urusan kerajaan Malaysia untuk menarik diri daripada misi pengaman dan membawa pulang anggota MALBATT terlibat.

Tambah beliau lagi, sekiranya misi membawa pulang tidak dibuat dan berlaku perkara tidak diingini, dikhuatiri tiada pembelaan terhadap pasukan pengaman yang menjadi mangsa.

"Israel memang anggap tidak bersalah, mereka tidak kisah apa sahaja keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), malah Israel telah ketepikan serta tidak iktiraf langsung,” katanya.

Julai lalu, ICJ memutuskan aktiviti penempatan Israel di Wilayah Palestin melanggar undang-undang antarabangsa.

Presiden ICJ, Nawaf Salam berkata, pendengaran di mahkamah itu mengesahkan bidang kuasanya untuk mengeluarkan pendapat nasihat mengenai akibat undang-undang pendudukan Israel di Wilayah Palestin, dengan menyatakan bahawa ia mempunyai maklumat yang mencukupi mengenai perkara tersebut.

Dasar penempatan Israel juga tidak mematuhi kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa.