Sohail asah taring 'Young Tigers'

Iklan
Sohail. Foto Bernama

SKUAD remaja lelaki negara mendapat tonik tambahan menjelang kejohanan hoki antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 di Johor Bahru minggu depan apabila akan menggunakan khidmat pakar pukulan sudut penalti, Sohail Abbas.

Kehadiran legenda hoki dari Pakistan itu diharap dapat menajamkan jentera serangan skuad Young Tigers bimbingan, I Vikneswaran pada kejohanan edisi ke-12 di Stadium Hoki Taman Daya bermula 19 hingga 26 Oktober ini.

Iklan
Iklan

Vikneswaran berkata, biarpun Sohail yang dinamakan sebagai penolong jurulatih skuad Speedy Tigers pada 1 Oktober lalu sedikit terlewat, namun kehadirannya bersama skuad muda negara amat dialu-alukan.

"Setakat ini kita sudah menjalani tiga sesi bersama beliau dan bagi saya pembabitan beliau bersama pasukan penting terutama dengan pengetahuan yang dimilikinya daripada sudut teknik seperti 'drag flick'.

Iklan

"Namun agak sayang beliau datang pada saat-saat akhir kerana jika kita nak buat perubahan mendadak pun tidak boleh kerana perkara ini memerlukan pada fasa pembangunan terlebih dahulu dan kita sekarang berada dalam fasa pertandingan.

"Jadi dari situ ada sedikit kekangan bagaimanapun input daripada beliau amat penting," kata Vikneswaran yang berharap tahap 'conversion rate' negara akan meningkat dengan kehadiran Sohail.

Iklan

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) pada Khamis mengumumkan 20 pemain dengan sembilan pemain turut berpengalaman beraksi pada edisi 2023.

Sohail dikenali sebagai penjaring terbanyak dunia hoki moden menerusi 348 jaringan daripada 311 penampilan dalam skuad hoki negaranya.

Beliau diikat oleh KHM selama setahun dengan pilihan tambahan kontrak setahun bagi membantu persiapan skuad remaja lelaki dan wanita menjelang Piala Remaja Asia 2023 di Muscat, Oman bulan depan.

SOJC 2024 melibatkan penyertaan enam negara termasuk Malaysia selain Australia, Great Britain, India, Jepun, New Zealand.