Pengaruh takmilah dalam sastera Islam

Iklan
Gambar hiasan

TAKMILAH janaan Shafie Abu Bakar, bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) muncul pada 1992 dengan meninggalkan manfaat besar untuk pengkaji sastera Melayu.

Takmilah ialah perkataan Arab yang bermaksud ‘kesempurnaan’ dibangunkan oleh sarjana yang berasal dari Terengganu Darul Iman, hasil daripada pengalamannya sebagai pensyarah, pengkaji, penulis kreatif dan pelajar sekolah aliran agama di Dungun, Terengganu.

Iklan
Iklan

Sosok istimewa itu bukan sahaja aktif menulis tulisan ilmiah, bahkan turut prolifik menghasilkan beberapa buah kumpulan puisi berunsur Islam. Antara hasil karyanya ialah Kumpulan Puisi Wajah Diri (DBP 1995), Kumpulan Puisi Puncak Rindu (UKM 1996), Kumpulan Puisi Madu Ilmu (UKM 1999) dan lain-lain.

Takmilah gagasan ilham Shafie Abu Bakar memiliki tujuh prinsip utama iaitu prinsip ketuhanan yang bersifat kamal (sempurna), prinsip kerasulan sebagai insan kamil (sempurna), prinsip keislaman yang bersifat akmal (sempurna), prinsip ilmu dengan sastera yang bersifat takmilah (menyempurnakan), prinsip sastera sendiri yang berciri estetik dan bersifat takmilah (sempurna dan menyempurnakan), prinsip pada pengkarya yang seharusnya mengistikmalkan diri (menyempurnakan) dan prinsip khalayak bertujuan memupuk mereka ke arah insan kamil (sempurna).

Iklan

Berdasarkan dua tunjang utama iaitu hubungan manusia dengan ALLAH SWT (habl min ALLAH) dan hubungan manusia dengan manusia (habl min al-Nas) telah menempah banyak manfaat untuk generasi pengkaji hari ini.

Takmilah merupakan ilham daripada pemahaman Shafie Abu Bakar sebagai seorang yang memiliki latar belakang pengajian agama, maka hasilnya memperlihatkan Islam secara menyeluruh.

Iklan

Sementelahan beliau merupakan pensyarah sastera yang lulus cemerlang Ijazah Doktor Falsafah dengan tajuk tesisnya ‘Hikam Melayu: Kajian Falsafah dan Etika’ pada 1990 dari UKM.

Pengalamannya yang luas dalam bidang sastera dan pengetahuan ilmunya yang kukuh dalam bidang agama membolehkan gagasan takmilah dapat difahami ramai khalayak sastera, malahan diaplikasikan sejumlah pengkaji tanah air.

Menariknya, beberapa kajian tentang sastera Melayu yang diaplikasikan dengan takmilah telah mendapat pengiktirafan, antaranya artikel hasil tulisan Mohamad Mokhtar Abu Hassan telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan juga tulisan Samsina Abd Rahman.

Malah, menurut Shafie Abu Bakar, 1997:"Sastera Islam merupakan gambaran yang dicerakin daripada kehidupan masyarakat dan bertujuan memberi pendidikan serta bimbingan ke arah menghayati nilai-nilai Islami yang lebih syumul”.

Takmilah dalam sejarah per-tumbuhannya telah memperlihatkan kajian bukan hanya terhadap genre puisi, novel, cerpen dan drama, bahkan sehingga kepada lirik lagu serta rekaan bangunan masjid. Hal itu menunjukkan bahawa takmilah sebagai sebuah ilham Shafie Abu Bakar telah merentas disiplin ilmu dan genre sastera.

Takmilah telah diaplikasikan mahasiswa seluruh tanah air untuk teks sastera yang mengarah kepada habl min Allah (hubungan manusia dengan ALLAH SWT), habl min al-Nass (hubungan manusia dengan manusia) dan habl min al-Alam (hubungan manusia dengan alam) sebagai sandaran serta rujukan.

Barangkali sarjana dan mahasiswa tanah air wajar mengungkapkan terima kasih kepada Shafie Abu Bakar kerana memperkenalkan takmilah dalam gugusan teori serta pendekatan Melayu - Islam yang wujud hari ini.

Lantaran takmilah berupaya membugar semangat pengkaji untuk memahami dan menanggapi dengan lebih terperinci tentang kedudukan sastera Islam serta budaya Melayu dalam kajian dengan lebih mendalam.

Takmilah dalam perkembangannya sebagai sebuah pendekatan dan teori sastera Islam telah mewajahkan kedudukan karya sastera tanah air dengan lebih tersusun, terancang serta terperinci dengan tujuh prinsip yang mengarah manusia kepada kesempurnaan (ketakmilahan) dalam galur kehidupan.

Berpandukan kepada pengalaman, pengetahuan dan penghayatan dimiliki Shafie Abu Bakar sebagai seorang pelajar aliran agama, pensyarah institusi pengajian tinggi, pengkaji serta penilai sastera tanah air, maka jelaslah bahawa takmilah berupaya membangunkan wajah sastera Islam dengan lebih menenteramkan bersandarkan falsafah tauhid sangat jelas dan meyakinkan.

Shafie Abu Bakar yang bergelut dengan dunia akademia dan telah menyumbang bakti dalam dunia pendidikan dalam tempoh yang agak lama sesungguhnya telah menawarkan kefahaman yang jitu kepada pengkaji karya sastera tanah air.

Didapati takmilah telah tersenarai sebagai sebuah pendekatan sastera Islam yang berusaha mengajak khalayak untuk memperkukuh kebenaran (al-Haqq), keindahan (al-Jamal) dan kebaikan (al-Khayr) kepada Ya Rahman Ya Rahim dengan lebih akrab.

Bak ungkapan Shafie Abu Bakar menerusi blognya:"Sebenarnya bersama tumbuhnya rasa ingin tahu manusia, ada kelemahan-kelemahan ketara diri manusia di samping terhad kemampuan selalu berlaku kesilapan-kesilapan iaitu sesuatu yang diwarisi sejak daripada moyang – Adam dan Hawa, di samping kesilapan-kesilapan manusia juga sering bersifat lupa.

Sebenarnya jambatan tamadun dan peradaban manusia adalah terbina di atas kelemahan serta kekhilafan-kekhilafan. Menyedari kelemahan dan kekhilafan yang dilalui di lebuh sejarah, mereka mencari, mereka memperbaiki kekhilafan dan terus mencari.”

Malahan renungi puisi yang dihasilkan Shafie Abu Bakar, terbit dalam akhbar Utusan Zaman April 1974 iaitu:

Pencari

Kita ini

mengejar kehilangan

jadilah kita pencari-pencari

berterusan.

Sepanjang zaman

imbauan bahagia kedengaran

rangsangan demi rangsangan

membakar keinginan

tampillah kita berdahuluan

mengejar imbauan

setiap disentuh bibir pecah

dan dahaga kembali berpanjangan.

Manusia dengan keinginan

kiranya terpenuh

kakulah penggerak dari rangsangan

hambarlah hidup diziarah kesepian

rumah kehilangan keluarga

dunia kehilangan warga.

Telah menjadi wasiat hidup

milik kita adalah kehilangan

jadi dalam pencarian

jangan ditanya apa yang ditemui

kerana kita selamanya pencari-pencari.

* Profesor Madya Dr Kamariah Kamarudin merupakan Penyelidik Bersekutu di Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia. Beliau merupakan pemenang Anugerah Akademik Negara Ke-13 Kategori Seni dan Kreativiti (Kelompok Penulisan Kreatif) pada tahun 2019