Pearly-Thinaah mara ke final Terbuka Artik

Iklan
Pearly-Thinaah

JUARA Terbuka Hong Kong, Pearly Tan-M Thinaah meneruskan pemburuan kejuaraan kedua tahun ini apabila mengesahkan slot perlawanan akhir badminton Terbuka Artik di Vantaa, Finland.

Pearly-Thinaah, juara Super 500 di Hong Kong Coliseum itu akan berdepan pilihan utama dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning juga finalis Terbuka Hong Kong sebelum ini.

Iklan
Iklan

Pada September lalu, Pearly-Thinaah menumbangkan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris 2024 tersebut, straight set, 21-14, 21-14 dalam masa 38 minit.

Beregu wanita utama negara yang berstatus gandingan ketiga kejohanan menyingkirkan cabaran wakil dari Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi juga pilihan kedua kejuaraan Super 500 tersebut.

Iklan

Perlawanan suku akhir yang berlangsung di Energia Areena itu, Pearly-Thinaah berjaya menjinakkan Iwanaga-Nakanishi, 21-19, 19-21, 26-24, dalam masa 102 minit.

Sheng Shu-Tan Ning pula mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir selepas bangkit menewaskan gandingan senegara, Li Yi Jing-Luo Xu Min, 20-22, 21-18, 21-12 dalam masa 91 minit.

Iklan

Sementara itu, Pearly mengakui gembira apabila berjaya melangkah ke perlawanan akhir ketiga tahun ini.

"Kami sangat lega kerana set ketiga satu pertarungan sengit mata demi mata, kami agak gemuruh dan gopoh mendapatkan mata.

"Apabila kami gemuruh, situasi menjadi sukar mengutip mata, namun dari situ kami kembali menyokong satu sama lain untuk mendapatkan mata kemenangan," katanya.

Thinaah pula berkata:"Set ketiga kami saling mengingati satu sama lain supaya lebih tenang dan tidak gopoh dalam mematikan pukulan lawan.

"Kami terikut-ikut rentak permainan lawan pada awal yang kemudian agak meletihkan kami.

"Namun kemudian kami menukar strategi dengan lebih banyak berkomunikasi bagi menampilkan gaya permainan sendiri daripada terikut-ikut rentak lawan yang akhirnya membuahkan hasil."