Jumlah mangsa banjir tiga negeri kembali meningkat

Iklan
Penduduk Kampung Sungai Linau, Simpang Renggam, Misri Salamon, 63, perlu menggunakan sampan untuk meninjau keadaan rumahnya yang ditenggelami banjir sejak Sabtu lepas. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Jumlah keseluruhan mangsa banjir di tiga negeri kembali meningkat pagi ini, dengan Johor, Kedah dan Perak masing-masing mencatatkan pertambahan daerah yang terjejas akibat bencana itu.

Di KEDAH, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, banjir yang melanda Baling menyebabkan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, manakala dua lagi PPS kini beroperasi di Sik.

Iklan
Iklan

"PPS di Baling menempatkan 69 orang daripada 26 keluarga manakala PPS di Sik setakat ini menempatkan 54 keluarga terlibat banjir, dengan jumlah sebenar mangsa masih dalam bancian," katanya menerusi kenyataan di sini pada Ahad.

Muhammad Suhaimi berkata, Kota Setar masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 1,238 orang daripada 372 keluarga di sembilan PPS manakala 507 orang daripada 139 keluarga di Pendang masih berada di dua PPS.

Iklan

Bagi daerah Kubang Pasu, dua PPS masih beroperasi bagi menempatkan 146 orang daripada 52 keluarga manakala sebuah PPS di Pokok Sena dihuni 98 orang daripada 36 keluarga.

Sementara itu, di JOHOR dua lagi PPS dibuka masing-masing di Kluang dan Kulai, menyebabkan jumlah mangsa di negeri itu meningkat mendadak pagi ini kepada 147 orang, berbanding 17 mangsa pada malam tadi.

Iklan

Seramai 17 mangsa daripada tiga keluarga itu merupakan mereka yang terjejas banjir di daerah Batu Pahat yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bunut.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kampung Renggam, Kluang menempatkan 61 mangsa manakala baki mangsa berada di PPS Dewan Kampung Murni Jaya, Kulai.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir melanda Kluang dan Kulai petang ini, manakala cuaca sama dijangka di Batu Pahat pada pagi ini.

Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan mangsa banjir bertambah sedikit kepada 166 orang daripada 51 keluarga pagi ini, berbanding 136 orang daripada 40 keluarga malam tadi.

Sebuah lagi PPS dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Idris Shah II di daerah Hulu Perak pada 12.20 tengah malam tadi bagi menempatkan 30 orang daripada 11 keluarga selepas kediaman mereka di Kampung Air Panas terjejas banjir.

"Mangsa banjir di daerah Kerian masih kekal dengan seramai 71 orang daripada 20 keluarga masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak manakala di PPS SK Parit Haji Aman, menempatkan 65 orang daripada 20 keluarga," menurut sekretariat itu.- Bernama