Enam termasuk calon Gabenor Maluku Utara maut bot laju terbakar

Iklan
Sebuah bot laju terbakar di Pelabuhan Bobong, Pulau Taliabu, pada petang Sabtu waktu tempatan, mengorbankan enam mangsa termasuk Benny Laos, dan mencederakan empat yang lain. - Foto Direktorat Jeneral Pengangkutan Laut Indonesia

JAKARTA - Calon gabenor Maluku Utara, Benny Laos, meninggal dunia dalam tragedi kebakaran bot laju di Pelabuhan Bobong, Pulau Taliabu, pada Sabtu jam 2.05 petang waktu tempatan.

Polis Taliabu mengesahkan enam orang kehilangan nyawa dalam kejadian itu, termasuk Laos, yang mengalami melecur teruk dan patah kaki.

Iklan
Iklan

Empat yang lain, termasuk isteri Laos, terselamat dalam tragedi itu.

"Menurut pasukan perubatan, tiada nadi dikesan selama lebih dua jam," kata Penolong Ketua Pesuruhjaya Totok Handoyo, seperti yang dipetik oleh saluran berita tempatan Tribune Ternate.

Iklan

Walaupun prognosis suram, beliau menyatakan bahawa keluarga Laos meminta bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) diberikan.

Sebelum letupan, Totok menjelaskan Laos dan pasukannya menaiki bot laju ketika ia dalam proses mengisi minyak, untuk berkempen di Kampung Kawalo, Daerah Taliabu Barat.

Iklan

"Semasa mengisi minyak, letupan berlaku, diikuti api menyelubungi kapal," tambahnya.

Usaha memadamkan api dan memindahkan mangsa diselaraskan oleh bomba, polis, tentera dan penduduk tempatan.

Tahap penuh kejadian, termasuk bilangan individu yang masih belum ditemukan, masih tidak jelas kerana siasatan sedang dijalankan.

Pilihan raya serantau yang akan datang pada November akan merangkumi 508 daerah dan bandar di 37 wilayah di republik itu. - Bernama