Ronaldo ledak gol ke-133 antarabangsa

Iklan
Ronaldo meminta petugas keselamatan tidak menahan seorang peminat yang menceroboh padang kerana mahu berswafoto ketika bintang Portugal itu dikeluarkan pada minit ke-64. Foto: Agensi

CRISTAINO Ronaldo menjaringkan gol untuk kali ketiga berturut-turut dalam perlawanan Liga Negara-Negara UEAE ketika Portugal mengekalkan rekod sempurna mereka dengan kemenangan 3-1 ke atas Poland pada awal pagi Ahad.

Bernardo Silva dan Ronaldo meletakkan Portugal mendahului 2-0 pada separuh masa pertama di Warsaw dalam pertembungan Kumpulan A1.

Iklan
Iklan

Piotr Zielinski menjaringkan satu gol untuk Poland lewat separuh masa kedua sebelum gol sendiri oleh Jan Bednarek memadamkan harapan Poland untuk bangkit.

"Kami telah bekerja keras beberapa hari lalu, menyediakan pelbagai strategi untuk perlawanan ini dan kami berjaya menunjukkannya di padang.

Iklan

"Saya sangat berpuas hati kerana kami mengawal perlawanan ini,” kata jurulatih Portugal, Roberto Martinez.

Dalam perlawanan itu, Portugal mendahului pada minit ke-26 minit selepas Ruben Neves melambungkan bola ke kawasan penalti di mana Bruno Fernandes menanduk bola ke bawah untuk Silva, yang bermain dalam penampilan ke-96 dan menjaringkan gol menerusi tendangan voli.

Iklan

Dengan Poland bergantung kepada serangan balas, Portugal sekali lagi diberi ganjaran atas pendekatan positif mereka dengan gol kedua 10 minit kemudian.

Rafael Leao memecut ke arah kotak penalti dan melepaskan rembatan kencang yang terkena tiang.

Ronaldo adalah pemain terpantas bertindak balas, menjaringkan gol menerusi bola muntah untuk mencatatkan gol antarabangsanya yang ke-133.

Ia juga merupakan gol ketiga pemain berusia 39 tahun itu dalam tiga perlawanan Liga Negara-Negara musim ini selepas menjaringkan gol dalam kemenangan ke atas Croatia dan Scotland.

Dengan Portugal kelihatan selesa, Martinez mengeluarkan Ronaldo serta Leao sejurus selepas sejam permainan dan digantikan oleh Diogo Jota serta Francisco Trincao.

Poland membuatkan Portugal sedikit cemas apabila Zielinski menjaringkan gol pada minit ke-78.

Pemain tengah Inter Milan itu bermain satu-dua dengan pemain gantian, Kacper Urbanski, sebelum melepaskan bola melepasi Diogo Silva di gawang Portugal.

Walau bagaimanapun, Portugal mengembalikan kelebihan dua gol mereka apabila Bednarek menjaringkan gol sendiri pada minit ke-88 selepas tertampan masuk hantaran lintang Nuno Mendes.

"Kami bermain menentang salah satu pasukan terbaik di dunia, penuh dengan pemain hebat.

"Tetapi kami membiarkan mereka mendominasi terutamanya pada separuh masa pertama,” kata Zielinski.

Portugal akan menentang Scotland di Glasgow pada awal pagi Rabu (waktu Malaysia) mencari kemenangan keempat dalam empat perlawanan dalam kejohanan ini, manakala Poland akan menentang Croatia.