Menurut laporan Bank Negara, pada suku kedua 2019 ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh iaitu 4.9 peratus meskipun berdepan persekitaran mencabar ketika ekonomi dunia kelihatan muram. Media juga melaporkan, pelaburan asing ke Malaysia meningkat pada tahun lalu.
Pada tahun 2020 ini, kerajaan juga telah memberi jaminan akan berusaha lebih keras untuk memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.
Itu status terkini keadaan ekonomi negara. Bagaimana pula dengan status kewangan peribadi anda? Adakah anda selesa dengan gaji atau pendapatan yang diperoleh sekarang? Atau pendapatan anda sekadar cukup-cukup makan?
Mungkin ada di antara anda yang mempunyai gaji lumayan tetapi di saat kecemasan tidak mampu menyediakan wang yang cukup. Ini bermakna, ekonomi peribadi anda tidak stabil. Dalam keadaan kos sara hidup semakin meningkat dan penambahan bilangan anggota keluarga, anda mungkin berada dalam kemelut kewangan secara berterusan.
Apakah yang patut anda lakukan? Sesuatu mesti dilakukan segera supaya ekonomi anda bertambah, prestasi ekonomi negara juga mampu berkembang.
Jana pendapatan baharu
Keadaan ekonomi keluarga memberi pengaruh besar dalam institusi kekeluargaan. Keluarga akan lebih harmoni, situasi di tempat kerja lebih mudah, hubungan dengan orang sekeliling juga menjadi positif. Jika sebaliknya, akan muncul pelbagai masalah yang menjadi punca kurangnya produktiviti prestasi kerjaya menurun dan keluarga turut menjadi porak-peranda.
"Bekerjalah lebih banyak daripada orang lain kerana usaha tidak pernah membohongi hasil.” Saranan daripada Tokoh Indonesia, Chairul Tanjung ini wajar dijadikan sumber inspirasi untuk memulakan langkah memantapkan kerjaya dan menjana pendapatan baharu.
Hari ini, satu sumber pendapatan sahaja tidak mencukupi. Paling kurang memerlukan pendapatan kedua iaitu daripada sumber perniagaan atau pelaburan.
Perniagaan Online:
Jika mahir dalam dunia digital, anda berpeluang besar untuk menjana pendapatan atas talian. Media sosial seperti Blog, Facebook, Twitter dan Instagram menjadi medium paling sesuai untuk mempromosikan perniagaan. Contoh perniagaan online yang mendapat sambutan ialah perniagaan berasaskan makanan, pakaian dan kosmetik.
Ambil Tempahan:
Jika mempunyai kemahiran menjahit, menyulam, membuat kek dan biskut, tingkatkan pendapatan dengan mengambil tempahan. Suri rumah boleh lakukan secara tetap, manakala bagi yang bekerja boleh melakukannya pada cuti hujung minggu atau musim tertentu. Ada yang mampu meraih hasil empat kali ganda daripada gaji tetap dengan mengambil upah ketika musim perayaan.
Guru tuisyen:
Jika anda seorang guru atau mungkin anda mempunyai kelebihan dalam subjek-subjek tertentu, buka kelas tuisyen di rumah. Caj yuran boleh dikenakan mengikut subjek yang dipilih pelajar dengan masa maksimum satu jam.
Perniagaan penginapan:
Jika ada miliki lebih satu rumah, jana pendapatan dengan cara membuat sewaan tetap, inap desa atau sebagai asrama pekerja dan pelajar IPT. Wang sewaan boleh melangsaikan bayaran bulanan pinjaman. Dua kerja atau lebih: Trend melakukan dua atau tiga kerja untuk tambahan pendapatan bukan perkara baharu. Siang bekerja makan gaji, sebelah malam berniaga makanan sudah menjadi kebiasaan bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar.
Jual barang terpakai:
Menjual barangan peribadi mungkin tidak lumayan hasil yang diperoleh. Jangan membazir atau dibuang begitu sahaja, daripada tidak digunakan lagi lebih bak pakaian atau perabot lama itu dijual.
Urus kewangan cara betul
Ramai yang berjaya dan mampu meraih pendapatan tinggi selepas melakukan pelbagai usaha dalam menambah kewangan peribadi dan keluarga. Namun, ramai juga yang gagal dalam pengurusan wang. Akhirnya terbelenggu dalam masalah yang tidak berkesudahan.
Mengurus kewangan peribadi adalah kunci bagi mengelak daripada masalah kewangan yang serius. Sebelum itu, anda mesti tahu apa yang dimahukan dalam hidup. Apa yang anda mahu pada usia persaraan? Apakah simpanan untuk masa depan keluarga mencukupi jika diambil kira faktor kenaikan kos sara hidup dan keadaan ekonomi semasa?
Abraham Lincoln ada menyebut,"Sukses adalah berjalan dari satu kegagalan ke kegagalan yang lain, tanpa kita kehilangan semangat. Tetapi jika tidak merancang, sebenarnya kita sedang merancang untuk gagal selamanya.”
Tujuh perkara wajib ada untuk pelan perancangan jangka pendek dan jangka panjang:
- Makan gaji atau bekerja sendiri ibarat seperti bercucuk tanam, mengambil masa yang lama untuk membuahkan hasil. Lakukan bersungguh-sungguh kerana peningkatan prestasi akan membawa kepada perolehan pendapatan yang lebih. Majikan akan menilai kenaikan gaji, perniagaan juga maju jika anda berniaga sendiri.
2. Simpanan
- Jika membelanjakan semua pendapatan ada lebih baru simpan, anda sedang mencipta masalah kewangan yang kronik.Jadikan simpanan sebagai satu benda wajib dengan formula ‘gaji - simpanan = kos lain dan belanja’. Agihkan 10% daripada pendapatan atau mulakan dengan serendah RM50.3. Perbelanjaan
- Dahulukan keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan. Baki yang ada barulah disusuli dengan keperluan tambahan peribadi. Jika merancang untuk bercuti atau membeli sesuatu yang mahal, kumpul duit dan buat tabungan asing dari awal.4. Perlindungan
- Sakit tidak mengenal masa dan usia. Ia berisiko bagi yang bermasalah dalam pengurusan wang. Cara paling selamat, ambil insurans patuh syariah. Dapatkan ejen insurans bertauliah yang dapat menerangkan secara jelas tentang perlindungan yang ditawarkan. Fahami terma dan syarat pakej.5. Pelaburan
- Ramai yang melabur, tetapi berapa ramaikah yang buat pelaburan secara bijak? Pelaburan bermatlamat untuk kegunaan masa depan seperti menunaikan haji, ketika persaraan, kos pendidikan anakanak, percutian setiap tahun dan miliki harta tambahan. Apa-apa pun matlamat kewangan anda, perlu tahu menyusun strategi pelaburan dengan bijak. Pastikan pelaburan itu patuh syariah sama ada melalui agensi kerajaan atau melalui unit amanah, saham, Exchanged Traded Funds (ETF), Real Estate Investment Trust (REIT) dan lain-lain lagi.6. Penyucian
- Melalui hasil pendapatan, agihan perlu dilakukan untuk tujuan zakat dan cukai. Zakat merupakan ibadah untuk seseorang Muslim menyucikan hartanya. Manakala cukai adalah satu tanggungjawab yang perlu dilunaskan sebagai rakyat Malaysia. Pendapatan yang diterima lebih berkat dan berkembang.7. Pewarisan
- Harta tidak akan kekal milik kita selamanya. Mewariskan harta kepada keluarga yang bakal ditinggalkan amat perlu untuk memudahkan mereka menggunakannya bagi meneruskan kehidupan. Buat penamaan, guna pakai kepentingan wasiat, hibah, wakaf, isytihar harta sepencarian dan pemegang amanah. Pembahagian harta semasa hidup penting bagi mengelak perebutan atau penganiayaan kepada ahli keluarga terutamanya isteri dan anak-anak.Dapatkan khidmat nasihat perunding kewangan yang sah berkaitan pelaburan agar tidak tersalah membuat keputusan. Berurusanlah dengan pihak bank, pegawai Khidmat Nasihat Persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), bagi membantu anda mengendalikan situasi kewangan secara bijak.