Rakit tradisional Orang Asli tarikan baharu Taman Negara Terengganu

Iklan
Rakit tradisional Orang Asli yang dahulunya digunakan untuk mengangkut barang kini akan dikomersialkan untuk membawa pengunjung melaluinya kawasan menarik sekitar Tasik Kenyir.

HULU TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Pengalaman menaiki rakit tradisional Orang Asli dengan menyusuri beberapa lokasi menarik di sekitar kawasan Tasik Kenyir merupakan antara tarikan baharu buat pengunjung di Taman Negara Terengganu.

Pengangkutan air yang sepenuhnya dibina melalui hasil pertukangan oleh suku Semaq Beri itu dilihat mampu menjadi sumber ekonomi baharu golongan tersebut dan dalam masa yang sama mengekalkan budaya diamalkan mereka sejak ratusan tahun dahulu.

Iklan
Iklan

Penguasa Taman Negara Terengganu, Sharena Sapri berkata, pembinaan rakit itu antara langkah bagi mengetengahkan budaya Orang Asli di Tasik Kenyir termasuk mengkomersialkan produk mereka.

"Idea pembinaan rakit ini dicetuskan oleh beberapa kakitangan Taman Negara Terengganu sendiri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta dua jurugambar bebas yang begitu teruja terhadap keindahan alam semula jadi di sini serta kehidupan Orang Asli yang menggunakan rakit sebagai pengangkutan utama ketika mencari hasil hutan di sekitar kawasan ini.

Iklan

Bot digunakan untuk menggerakkan rakit menyusuri kawasan menarik di sekitar Tasik Kenyir.

"Jadi, kami berpendapat ia perlu dijadikan satu produk pelancongan yang bukan hanya membantu menambah pendapatan Orang Asli setempat malah dapat mengekalkan tradisi dan budaya pengangkutan tersebut," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Iklan

Menurut Sharena, buat masa ini hanya satu rakit sahaja dapat disiapkan memandangkan ia merupakan projek perintis sebagai permulaan kepada projek-projek lain melibatkan komuniti Orang Asli di kawasan itu.

"Kami tidak mempunyai modal yang banyak, jadi kami kumpul wang hasil sumbangan peribadi untuk menghasilkan rakit ini bagi mempromosikan pengangkutan air yang terkenal dalam komuniti ini suatu ketika dahulu.

"Kos untuk membina setiap rakit ini sekitar RM2,000 dan kami berhasrat untuk membina tiga buah lagi bagi memenuhi permintaan pengunjung pada masa akan datang," ujarnya.

Jelas beliau lagi, sebuah rakit mengambil masa kira-kira seminggu hingga dua minggu untuk disiapkan bergantung kepada keadaan cuaca, serta mampu memuatkan 10 hingga 12 orang dewasa dalam satu-satu masa.

Sharena dan Ishak

Sharena berkata, keunikan yang ada pada rakit tersebut dijangka mampu menjadi daya tarikan kepada pelancong dari luar negara.

"Kita jangka rakit ini dapat beroperasi seawal Disember depan atau selewatnya awal tahun depan di mana waktu operasi antara jam 10 pagi hingga 4 petang, bergantung kepada keberadaan dan kondisi rakit tersebut.

"Kita juga bercadang untuk membuka aktiviti ini kepada orang ramai pada Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad dengan kadar bayaran antara RM150 hingga RM200 bagi sesebuah rakit," katanya.

Beliau memberitahu, setakat ini beliau menerima maklum balas positif daripada mereka yang berminat untuk menaiki rakit tersebut.

"Sambutan diterima amat sangat menggalakkan dan kita bercadang untuk adakan kolaborasi dengan Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir bagi memajukan lagi usaha ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dengan adanya aktiviti untuk golongan itu, ia dapat mengurangkan kegiatan mempergunakan atau mengeksploitasi Orang Asli di kawasan tersebut.

"Kita bercadang untuk membina sebuah perkampungan mini budaya yang mengetengahkan seni bina rumah Orang Asli, pakaian tradisional yang digunakan ketika upacara 'sewang', sumpit serta makanan-makanan seperti ikan salai, madu dan lain-lain.

"Kami juga dalam usaha menambah produk tradisional mereka seperti rakaman gambar bersama pakaian sewang, menganyam bumbung daun bemban dan lain lain lagi.

"Ia secara tidak langsung dapat memberi nilai tambah kepada mereka sekali gus mengelak golongan ini dieksploitasi oleh mereka yang mahu mengaut hasil hutan atau sumber makanan yang ada di sini," katannya.

Sementara itu, pembuat rakit, Ishak Samad, 41, berkata, pembinaan rakit tersebut diwarisi daripada nenek moyang mereka dan digunakan untuk mengangkut hasil hutan.

"Binaan rakit sepanjang 12 meter ini menggunakan buluh khas digelar 'ley', kayu dan anyaman daun pokok cucuh untuk dijadikan sebagai atap.

"Saya berani cuba untuk komersialkan rakit ini memandangkan sektor pelancongan melibatkan masyarakat Orang Asli agak kurang tumpuan.

"Jadi, kita harap projek ini dapat menjadi sumber ekonomi baharu kepada golongan masyarakat Orang Asli di kawasan ini," katanya.

Ishak menunjukkan atap rakit diperbuat daripada daun pokok cucuh yang menyerap haba dan rakit tersebut nyaman walaupun dibawah cuaca panas.

Perjalanan menaiki bot ke Taman Negara Terengganu mengambil masa kira-kira 45 minit dari jeti di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir.

Terdapat pelbagai tarikan di kawasan yang terletak di Tasik Kenyir iaitu tasik buatan terbesar Asia Tenggara yang berkeluasan 38,000 hektar itu.

Antaranya, Gua Bewah, Gua Taat, kembara ke Pokok Melunak, memancing dan mandi manda di Sungai Cacing, mendaki Gunung Gagau, Gunung Remok, Gunung Padang serta berkanu atau menaiki bot.