'6 tahun JDT belum kalah atas Cow Grass' - TMJ

Iklan
Tunku Ismail

PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencadangkan kelab dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang tidak mahu menerima tawaran menaik taraf rumput kepada Zeon Zoysia supaya memilih rumput jenis Bermuda.

Iklan
Iklan

Tunku Ismail yang juga pemangku Sultan Johor berkata, rumput jenis Bermuda seperti yang digunakan oleh Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak lebih sesuai berbanding rumput Cow Grass dan tidak akan menyebabkan air bertakung.

"Masalah Cow Grass adalah 'soil base' dan apabila hujan air bertakung atau berlumpur," katanya dalam laman X miliknya.

Iklan

Tunku Ismail melontarkan cadangan itu selepas beberapa negeri mahu mengekalkan rumput jenis Cow Grass di stadium mereka.

Sebelum ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menyalurkan geran berjumlah RM4.6 juta kepada 10 negeri bagi pelaksanaan projek menaik taraf padang bola sepak di stadium utama negeri masing-masing.

Iklan

Lapan negeri iaitu Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang, Terengganu, Selangor, Perak, Kuala Lumpur dan Melaka menerima peruntukan penuh RM500,000 bagi skop kerja menaik taraf saliran dan penukaran rumput.

Perlis dan Kedah pula masing-masing hanya menerima RM300,000 kerana hanya mahu menaik taraf sistem saliran, manakala Sabah dan Pulau Pinang tidak mahu menerima peruntukan tersebut kerana tidak menaik taraf saliran dan penukaran rumput.

Dalam pada itu, Tunku Ismail juga menyangkal teori bahawa JDT akan berdepan kesukaran sekiranya bermain di atas rumput jenis Cow Grass.

"Ada juga saya dengar teori yang mengatakan Cow Grass beri kekurangan kepada JDT.

"Tuan-tuan, JDT belum kalah di laman lawan dalam liga sejak Mac 2018. Enam tahun belum kalah atas Cow Grass.

"Jadi tolonglah berfikir secara profesional dan meningkatkan infra bola sepak negara," katanya.