Banjir: Wanita warga emas, dua lelaki terperangkap atas pokok

Iklan
Anggota bomba menyelamatkan mangsa yang terperangkap atas pokok di Baling akibat arus deras. Foto JBPM

BALING - Tiga mangsa banjir hanya sempat berpaut pada pokok untuk menyelamatkan diri setelah rumah mereka dilanda arus deras dalam kejadian di Kampung Haji Abas di sini pada Ahad.

Tiga mangsa terbabit terdiri daripada seorang wanita warga emas dan dua lelaki dewasa itu bagaimanapun hanya menunggu atas pokok serta tidak mampu untuk mengharungi air deras kerana bimbang keselamatan diri.

Iklan
Iklan

Komander Operasi Kanan Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Mohamad Sofi Abdul Wahab berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 3.57 pagi Ahad memaklumkan kejadian banjir di sekitar Baling.

Menurutnya, anggota bomba bergegas ke kawasan terlibat bagi menjalankan operasi memindah dan menyelamat mangsa terjejas.

Anggota bomba memindahkan mangsa terjejas banjir di daerah Baling. Foto JBPM

Iklan

"Bagaimanapun, pada jam kira-kira 6.45 pagi, kami menerima panggilan untuk menyelamatkan mangsa yang dikatakan terperangkap atas pokok.

"Ketika kejadian, paras air meningkat dari 0.5 meter sehingga ke 1.5 meter di mana terdapat beberapa kawasan air deras atas faktor hujan berterusan," katanya.

Iklan

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati benar terdapat tiga mangsa yang berpaut atas pokok bagi menyelamatkan diri dari arus deras.

"Anggota kemudian mengharungi arus deras menggunakan sistem tali dengan kelengkapan pakaian pelindung diri (PPE) lengkap bagi menyelamatkan mangsa," katanya.

Anggota bomba memindahkan seorang warga emas yang terjejas banjir di Baling. Foto JBPM

Tambah beliau, kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan dihantar ke pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan.

Sementara itu, di Kupang, lima mangsa termasuk seorang pesakit strok dipindahkan setelah rumah mereka dinaiki air kira-kira jam 9.29 pagi Ahad.

Jelas beliau, sehingga kini, operasi memindahkan mangsa terjejas di beberapa kawasan di Baling masih dijalankan.

Operasi menyelamat mangsa turut dibantu Polis Diraja Malaysia dan anggota penyelamat lain.

Berdasarkan maklumat dikongsi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), seramai 69 mangsa dilaporkan terjejas di Baling setakat 8 pagi Ahad.