SHAH ALAM - Bapa kepada salah seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun yang maut, Allahyarham Khairil Anwar, 20, tetap dengan pendirian untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas suspek wanita yang terlibat dalam kemalangan meragut nyawa anak bongsunya.
Jamaludin Hussin, 53, berkata, dia tidak berdendam malah memaafkan cuma tindakan tersebut bagi menuntut keadilan buat anaknya.
Walaupun masih belum bersedia bertemu dengan suami suspek, namun dia berharap pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengaturkan perjumpaan ketiga-tiga waris yang kehilangan anak untuk berbincang mengenai ambil tindakan atau sebaliknya.
"Saya maafkan tapi dari segi keadilan, saya akan lawan sampai habis.
"Saya tetap dengan pendirian untuk meneruskan saman ini, saya mendengar banyak pendapat pelbagai pihak, memang mudah untuk minta maaf, namun kita yang kehilangan anak menanggungnya bukan senang.
"Saya tidak akan dendam cuma nak keadilan untuk arwah," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Pada malam Rabu, tiga pelajar UiTM Dungun maut manakala seorang lagi parah selepas terbabit dalam kemalangan di hadapan universiti berkenaan.
Tiga pelajar terbabit, Khairil Anwar Jamaludin, 20, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dan Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, meninggal dunia apabila dua motosikal jenis Yamaha LC135 serta Yamaha Y15 yang ditunggangi mereka dirempuh kenderaan Honda CRV dipandu seorang wanita dipercayai kurang siuman.
Seorang lagi pelajar, Mohd Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, parah dan dirawat di Hospital Dungun.