Pemilihan Sayap Bersekutu Bersatu di Perak lancar

Iklan
Richard (kiri) turut membuang undi bagi pemilihan Sayap Bersekutu Bersatu Bahagian Ipoh Barat yang berlangsung pada Sabtu.

IPOH - Proses pemilihan Sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Perak yang julung kali diadakan pada Sabtu berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini walaupun terdapat satu bahagian tidak berjaya meneruskan proses berkenaan.

Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Perak, Dr Richard Ng berkata, asalnya tiga bahagian Bersatu di negeri ini terlibat dalam pemilihan parti iaitu Batu Gajah, Gopeng dan Ipoh Barat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagaimanapun hanya dua bahagian iaitu Gopeng dan Ipoh Barat sahaja yang dibenar mengadakan pemilihan manakala Batu Gajah tidak dapat diadakan kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) di peringkat Pusat.

"Secara keseluruhannya proses pemilihan buat kali pertama ini bagi Sayap Bersekutu Bersatu di Perak berjalan dengan baik walaupun terdapat satu bahagian yang tidak dapat menjalankan pemilihan tersebut.

Iklan

"Semua pemilih berdaftar yang layak menjalankan amanah masing-masing bagi memilih pemimpin bagi sayap tersebut di peringkat bahagian dan mereka faham akan ketetapan untuk pemilihan kali ini," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Richard berkata, seramai 83 orang pemilih berdaftar yang layak mengundi membuat pilihan masing-masing iaitu 28 orang di Bersatu Bahagian Gopeng manakala 55 orang lagi melibatkan ahli Bersatu Bahagian Ipoh Barat.

Iklan

Menurutnya, keputusan rasmi bagi pemilihan tersebut dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat setelah selesai semua pemilihan di peringkat negeri-negeri lain.

Jelasnya, sepanjang tempoh pemilihan tiada berlaku sebarang kekecohan atau bantahan daripada ahli mahu pun calon yang terlibat.

Sementara itu, beliau menyifatkan pemilihan bagi sayap bersekutu itu memperlihatkan keterbukaan parti terhadap hak bagi ahli-ahli bukan Melayu di dalam Bersatu.

"Ini merupakan satu kejayaan buat Bersatu yang memberi peluang kepada sayap bersekutu memilih pemimpin mereka. Ini satu lembaran baharu buat Perikatan Nasional (PN).

"Kita harapa pada masa akan datang peluang serta peranan lebih luas dapat diberikan kepada sayap bersekutu ini untuk membantu parti," katanya.

Pada 7 Oktober lalu, JPP Bersatu menerima sejumlah 8,531 borang pencalonan daripada ahli seluruh negara bagi menentusahkan kelayakan dan keabsahan untuk mengambil bahagian pada pemilihan parti bagi sesi 2024-2027.

Perkara itu disahkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu, Saiful Adli Mohd Arshad dengan memaklumkan seramai 93 calon bertanding bagi peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Jawatankuasa Armada Malaysia (53), Jawatankuasa Srikandi Muda Malaysia (39) dan Jawatankuasa Sayap Bersekutu Malaysia (27).

Pemilihan bagi Sayap Bersekutu ditetapkan pada 12 Oktober manakala bagi Srikandi, Armada dan Srikandi Muda pula pada 26 Oktober sementara peringkat bahagian akan berlangsung pada 2 November.