[VIDEO] Nahas pelajar UiTM: Muhammad Ammar Danish dibenarkan pulang hari ini

Iklan

DUNGUN - Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan dua buah motosikal yang kini dirawat di Hospital Dungun di sini dibenarkan pulang pada Ahad.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, Pelajar Tahun Dua Sarjana Muda Perakaunan UiTM kampus Dungun, Muhammad Ammar Danish Mohd Ridhuan, 20, bersama keluarganya akan dihantar pulang ke Keramat, Kuala Lumpur menggunakan ambulans universiti tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pelajar berkenaan dilaporkan semakin pulih dan stabil, namun masih memerlukan penjagaan dari sudut mental dan emosi.

"Kita nampak dia sudah tidak begitu trauma cuma proses penjagaan dari sudut kaunseling akan terus berjalan supaya tidak berlaku perkara-perkara yang mengganggu emosi ketika belajar kerana kejadian yang berlaku itu memberi kesan yang sangat besar kepada dirinya dan semua yang terlibat.

Iklan

"UiTM dengan kerjasama pihak hospital akan terus beri perhatian bagi penyediaan kaunseling bagi rawatan emosi pelajar berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Muhammad Ammar di sini pada Ahad.

Maliaman (dua dari kiri) melawat Muhammad Ammar Danish yang dirawat di Hospital Dungun pada Ahad.

Dalam pada itu, Maliaman turut merakam ucapan takziah atas kejadian menimpa semua mangsa.

Iklan

Katanya, kerajaan negeri sentiasa bersedia membantu sekiranya memerlukan sebarang keperluan.

Sebelum ini, tiga daripada empat pelajar UiTM kampus Dungun maut apabila sebuah kenderaan jenis Honda CRV dipandu wanita berusia 49 tahun merempuh dua motosikal dinaiki mereka.

Nahas berlaku ketika kesemua pelajar itu dalam perjalanan pulang ke kampus mereka selepas menyertai aktiviti kokurikulum dan makan malam.

Tiga mangsa yang maut ialah dua penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Makanan.