Banjir Sungai Siput: Puluhan keluarga terperangkap selamat dipindahkan

Iklan
Banjir turut mengakibatkan laluan utama ke kampung terjejas dinaiki air. Foto APM Perak

IPOH - Puluhan keluarga dilaporkan terperangkap susulan banjir melanda di empat perkampungan kawasan Sungai Siput di sini awal pagi Ahad.

Kejadian berlaku berikutan hujan lebat berterusan selama hampir 12 jam sejak 6.30 petang Sabtu mengakibatkan penduduk di Kampung Lasah, Kampung Lintang, Kampung Orang Asli Jong dan Kampung Orang Asli Chenein terjejas.

Iklan
Iklan

Setakat jam 12.30 tengah hari ini, proses pemindahan penduduk terlibat masih dilaksanakan dengan menempatkan mereka di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Lintang, Sekolah Kebangsaan (SK) Lasah dan Dewan Pandak Hamid Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong.

Mohd Azzan Shah Azman Shah, 32, dari Kampung Lintang berkata, kediamannya mula dinaiki air sekitar jam 6 pagi sehingga mencapai paras ketinggian hampir 1 meter.

Iklan

Menurutnya, limpahan air yang berlaku dari sungai berhampiran turut mengakibatkan dua laluan utama yang menghubungkan kampung tersebut dinaiki air dan tidak selamat digunakan untuk kenderaan ringan.

Keadaan banjir yang melanda empat perkampungan di Sungai Siput hingga memaksa perpindahan penduduk ke PPS dilakukan.

"Keadaan agak panik juga kerana kami ibarat terperangkap di tengah kawasan banjir, tidak tahu mahu kemana. Mujurlah bantuan segera sampai dan semua penduduk kini mula berpindah ke PPS.

Iklan

"Alhamdulillah, tiada kejadian tidak diingini berlaku, namun kami bimbang juga kerana setakat ini, belum nampak tanda-tanda paras air akan surut," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Azzan Shah berkata, rata-rata penduduk tidak bersedia menghadapi banjir kerana tidak menjangkakan paras air naik mendadak.

Katanya, ramai kalangan mereka hanya sempat keluar ke kawasan selamat dan meninggalkan peralatan serta perkakas rumah ditenggelami banjir.

"Sebelum ini, walaupun hujan lebat tidaklah sampai banjir. Kali terakhir kawasan ini dilanda banjir buruk pun semasa banjir besar 2014 dahulu," katanya.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan tiga PPS tersebut dibuka pada jam 9 pagi bagi menempatkan mangsa banjir di Sungai Siput dan jumlah sebenar mangsa banjir terlibat sedang dikemas kini.

Pembukaan PPS baru itu menjadikan jumlah keseluruhan enam PPS telah dibuka bagi menempatkan penduduk yang terjejas banjir di negeri ini.

Mangsa banjir di daerah Kerian masih kekal dengan 71 orang daripada 20 keluarga yang ditempatkan di PPS SK Changkat Lobak manakala di PPS SK Parit Haji Aman, menempatkan 65 orang daripada 20 keluarga.

Sebuah lagi PPS dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Idris Shah II di daerah Hulu Perak bagi menempatkan 30 orang daripada 11 keluarga selepas kediaman mereka di Kampung Air Panas dinaiki air.