KLANG - Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau bersama kira-kira 2,000 peserta membotakkan kepala sebagai tanda sokongan kepada kempen ‘Bald & Beautiful 5.0’ anjuran Yayasan Khind Starfish bagi membantu persatuan penyakit kanser.
Kempen dengan kerjasama Cancer Research Malaysia, Sarawak Children's Cancer Society dan Persatuan Hokkien Klang di Dewan Hokkien Klang itu turut meletakkan sasaran untuk mengumpul dana berjumlah sebanyak RM9 juta.
Ganabatirau memaklumkan, matlamat utama kempen adalah untuk memperkasakan penyelidikan kanser dan meningkatkan kadar kelangsungan hidup pesakit kanser di rantau Asia, khususnya dalam bidang-bidang penyelidikan yang sering diabaikan.
"Tahun ini, acara ini menjangkakan penyertaan sekitar 2,000 peserta yang akan membotakkan kepala mereka sebagai tanda solidariti dengan pesakit kanser.
"Melalui usaha ini, mereka berhasrat mengumpul dana sebanyak RM9 juta dan disalurkan sepenuhnya kepada penyelidikan kanser sebagai usaha untuk memperbaiki kehidupan pesakit yang terkesan," ujarnya dalam satu kenyataan selepas menghadiri majlis itu pada Ahad.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran, Tony Leong Tuck Chee.
Ganabatirau berkata, di bawah visi Malaysia Madani, adalah penting untuk rakyat menyokong usaha-usaha yang bukan sahaja memperbaiki kehidupan tetapi juga mengukuhkan kekuatan dan rasa kebersamaan dalam komuniti.
Ujarnya, Inisiatif 'Bald & Beautiful 5.0' ini memperlihatkan semangat dalam menyatukan individu daripada pelbagai latar belakang, dengan matlamat memberikan harapan dan peluang kepada mereka yang sedang berjuang melawan kanser.
"Kempen ini menggalakkan penyertaan serta sumbangan lebih besar daripada masyarakat umum dan saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada My Starfish Foundation dan Persatuan Hokkien Klang atas inisiatif ini," tambahnya.