BANGI - Kebolehpasaran graduan Kolej UNITI kini melebihi 80 peratus dan berjaya mengekalkan rekod enam bintang bagi penarafan MyQuest yang diperoleh sebelum ini pada 2016/2017.
Ketua Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa berkata, antara faktor yang mendorong kepada kejayaan tersebut adalah menerusi penawaran kursus pengajian yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran.
"Jadi, saya percaya prestasi itu kita pertahankan walaupun ada bidang yang kita boleh kata (jaminan) pekerjaan itu 100 peratus tetapi sebab kita ada banyak program pengajian jadi secara purata kebolehpasaran pelajar disini melebihi 80 peratus.
"Ia termasuk mereka yang menyambung pengajian peringkat lebih tinggi seperti ijazah dan ada juga menyambungkan pengajian di peringkat sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
"Ada juga di antara mereka sudah mula menjalankan perniagaan, jadi kita rangkumkan kebolehpasaran itu sekitar itulah 80 hingga 85 peratus," katanya selepas Istiadat Konvokesyen Kolej UNITI ke-21 pada Ahad.
Seramai 516 graduan menerima diploma ketika Istiadat Konvokesyen Kolej UNITI ke-21 yang berlangsung di Bangi Avenue Convention Centre membabitkan 414 graduan daripada Kolej UNITI Port Dickson dan 102 graduan Kolej UNITI Kota Bharu.
Jumlah tersebut melibatkan 165 graduan dari Fakulti Pengurusan Industri Halal, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (288) dan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan (63).
Hadir sama, Timbalan Presiden Akademi Profesor Malaysia, Datuk Seri Dr Ir Kamal Nasharuddin Mustapha; Presiden Kumpulan Pendidikan UNITI, Jamal Mohd Amin dan Ketua Eksekutif Kolej UNITI Kota Bharu, Seri Banun Bahtiar.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah memaklumkan, tidak dapat dinafikan cabaran untuk bekerja kini agak sukar disebabkan keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Bagaimanapun, katanya, tawaran program yang disediakan di kolej itu mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran antaranya Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak, Diploma Pengurusan Industri Halal, Diploma Psikologi Kaunseling dan Diploma Reka Bentuk Grafik.
"Tahun ini merupakan tahun ke-27 kita berada dalam ekosistem pendidikan tinggi negara, kita terus memandang ke hadapan untuk memainkan peranan walaupun kecil tetapi ia menjadi satu (kejayaan) yang kita raikan setiap tahun.
"Alhamdulillah, graduan yang diraikan hari ini datang daripada pelbagai bidang pengajian dan harapan kita adalah mereka akan segera masuk ke sektor pekerjaan dalam bidang masing-masing.
"(Sewaktu pengajian) kita juga dedahkan kepada pelajar kepada aspek keusahawanan supaya mereka tidak hanya melihat bekerja itu sebagai pilihan tetapi juga menjadi seorang usahawan, mungkin kecil-kecilan pada masa akan datang," katanya.