KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang perlu kekal menjadi keutamaan dalam menegakkan keadilan tanpa takut atau pilih kasih.
Anwar berkata, kebebasan kehakiman berlandaskan doktrin pemisahan kuasa, yang termaktub sebagai prinsip dalam struktur asas Perlembagaan Persekutuan.
"Pada masa lepas, kita telah melihat bagaimana prinsip suci ini dicabuli oleh mereka yang berkuasa, yang bersekongkol dengan pejabat kehakiman tertinggi untuk memesongkan keadilan bagi mencapai tujuan politik yang jahat dan keji.
"Namun, biarlah saya nyatakan dengan tegas bahawa cukup sampai di sini. Era itu sudah berakhir dan kita tidak akan membenarkan penyalahgunaan dan pencabulan undang-undang seumpama itu berulang lagi,” katanya berucap merasmikan Persidangan LAWASIA ke-37 di sini pada Ahad.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Presiden Majlis Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab dan Presiden LAWASIA, Shyam Divan.
Anwar berkata, reformasi perundangan dan kehakiman perlu mencerminkan kemajuan negara seiring dengan perubahan zaman untuk pembangunan manakala struktur undang-undang mesti berubah sebagai usaha menangani kemajuan teknologi yang belum pernah berlaku sebelum ini.Beliau mengulangi bahawa sistem kehakiman dan perundangan tidak boleh dipengaruhi oleh pandangan dan tuntutan golongan elit serta tidak seharusnya tunduk kepada desakan kumpulan yang mewakili kepentingan golongan kaya dan berkuasa.
Perdana Menteri turut menekankan bahawa dalam dunia yang berkembang pesat, pengamal perundangan memainkan peranan penting dan bekerjasama rapat dengan penggubal dasar serta pihak berkepentingan untuk membentuk kerangka yang menggalakkan inovasi, pada masa sama memastikan keadilan dan kesaksamaan terpelihara.
"Kita mesti mengemudi undang-undang kita melalui gelombang inovasi yang pantas sambil memastikan kapal keadilan tetap stabil. Kita perlu menilai sama ada undang-undang kita cukup untuk melindungi privasi, keselamatan, dan kepercayaan awam, dan yang lebih penting, sama ada keputusan kehakiman dapat menyokong kepentingan negara dalam jangka masa panjang," katanya.
Anwar berkata, bahawa undang-undang juga perlu bersifat fleksibel tetapi kukuh, mampu melindungi hak individu sambil menggalakkan kreativiti dan inovasi.
Beliau turut memberi amaran bahawa sistem perundangan yang terlalu tegas atau penghakiman yang dibuat tanpa mengambil kira kesan dasar awam bukan sahaja akan merencatkan kemajuan tetapi juga berisiko menghakis kepercayaan awam dan mengakibatkan ketidakadilan.
"Sebagai perbandingan, dalam bidang kuasa lain seperti undang-undang syariah, doktrin istihsan atau kesaksamaan membenarkan budi bicara perundangan apabila ia memenuhi jalan keadilan," kata Anwar sambil menambah bahawa mencapai keseimbangan yang tepat penting untuk memastikan sistem kehakiman dan perundangan kekal dinamik dan teguh.
Persidangan hingga Selasa ini menghimpunkan barisan pemimpin peguam, ahli perundangan, organisasi profesional dan peguam seluruh rantau Asia Pasifik bagi membincangkan perkembangan undang-undang dan amalan kehakiman, pendidikan undang-undang serta penyelesaian pertikaian rentas sempadan. - Bernama