Reformasi perkhidmatan awam perlu bermula dengan amalan telus lantikan berkait politik

Iklan
Kerajaan perlu menyuntik falsafah berteraskan tamadun murni dengan meletakkan pembudayaan yang berpaksikan integriti, transparensi dan produktiviti terhadap pelantikan ahli politik. Gambar kecil: Helmi

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan perlu menyuntik falsafah berteraskan tamadun murni dengan meletakkan pembudayaan yang berpaksikan integriti, transparensi dan produktiviti terhadap pelantikan ahli politik.

Setiausaha Agung Majlis Ekonomi Halal dan Keusahawanan Ummah Malaysia (MEH), Dr Helmi Ibrahim berkata, ia sesuai dengan Falsafah Madani yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika memenangi pilihan raya lalu.

Iklan
Iklan

"Beliau memenangi pilihan raya dengan membawa falsafah transformasi politik, pentadbiran pembangunan dan pengurusan ekonomi negara.

"Justeru, amatlah baik jika Perdana Menteri memulai dengan menyuntik falsafah ini dengan mengimplementasikanya dalam proses lantikan politik," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Mengulas lanjut, Helmi memaklumkan, dapatan kajian Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengenal pasti terdapat sebanyak 95 lantikan politik dalam badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah pentadbiran Anwar.

Justeru katanya, meskipun jumlah tersebut tidak seramai seperti pentadbiran yang lalu, namun ia perlu diberi perhatian.

Iklan

"Kita mengambil kira bahawa Anwar membawa agenda reformasi, justeru aspek ini perlu dibuktikan secara empirikal.

"Terdapat beberapa aspek dan kategori lantikan politik iaitu jawatan politik, pentadbiran awam, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta tugas khas mewakili negara," ujarnya.

Justeru itu, Helmi menegaskan, Anwar perlu menjadi contoh dan teladan dengan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan parti.

Ujar beliau, ia boleh dilaksanakan menerusi iklan terbuka dan temuduga telus khususnya untuk jawatan yang tidak berkaitan dengan politik atau parti seumpamanya.

"Dengan cara ini lebih ramai yang dapat memohon dan seterusnya menampilkan senarai selektif berpandukan kualiti.

"Sebagai pemimpin nombor satu negara dan negarawan antarabangsa, Anwar perlu berjiwa besar dengan 'walk the talk'," katanya.