Peter umum tiga daripada 10 manifesto KDM

Iklan
Peter (tiga dari kiri) ketika melancarkan Jentera PRN17 DUN Limbahau, Papar.

PAPAR - Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) mengumum tiga manifesto parti itu dalam Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbahau di Dewan Serbaguna Kampung Biau di sini pada Ahad.

Presidennya, Datuk Peter Anthony yakin bahawa KDM dapat melaksanakan kesemua manifesto tersebut selepas melakukan kertas kerja berhubung aset kerajaan Sabah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tiga manifesto yang diumumkan adalah melibatkan biasiswa pendidikan, bantuan bulanan kepada warga emas dan juga pemberian rumah kepada golongan miskin.

"Saya ingat sudah tiba masanya untuk kita menukar kedudukan kesusahan orang kampung melibatkan bantuan biasiswa. Kita nampak setiap tahun, bila saja menjelang pendaftaran universiti, ada orang kampung terutamanya dibebani masalah kewangan untuk mendaftar ke universiti dengan yang paling murah mungkin RM16,000 hingga ke RM23,0000.

Iklan

"Kita akan mencadangkan supaya biasiswa untuk pelajar ini akan diberikan secara percuma, tidak kira apa bangsa pun asalkan mereka ini orang Sabah yang berhak untuk diberikan biasiswa percuma yang dibiaya kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran jentera itu.

Beliau berkata, manifesto kedua dan ketiga melibatkan bantuan tahunan daripada kerajaan negeri sekurang-kurangnya RM500 kepada individu berusia 60 tahun ke atas dan bantuan rumah kepada golongan miskin.

Iklan

"Ramai saudara kita terutama di kawasan pendalaman ini susah dan saya yakin dengan pemberian suntikan RM500 kepada semua warga tua ini ia bukan sahaja dapat memperbaiki kedudukan ekonomi tetapi akan merancakkan kedudukan ekonomi daerah di Sabah.

"Manifesto ketiga melibatkan pemberian rumah kepada golongan miskin di seluruh daerah tidak seperti sekarang hanya 20 rumah saja diberikan," katanya.

Sehubungan itu, Peter berkata, jika KDM dapat mengambil alih kerajaan negeri, semua manifesto itu akan dilaksanakan nanti.

"Kita akan laksanakan di dalam manifesto kita tetapi sekarang ini baru tiga yang saya umum, selebihnya akan saya umumkan pada 27 Oktober ini.

"Kita telah mengenal pasti keseluruhan manifesto mungkin 10, mungkin ada tambahan dua lagi dan kita akan umum satu-satu dan secara keseluruhannya Disember ini," katanya.