ALOR SETAR - Turunan hujan lebat sejak kebelakangan ini meningkatkan paras dan takungan di tiga empangan utama di negeri ini, iaitu Empangan Pedu, Muda dan Ahning namun tidak menjejaskan kawasan sawah padi.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh berkata, hanya paras air takungan di Empangan Muda telah mencapai tahap 100 peratus penuh (100.59 meter) pada jam 10.30 malam Sabtu.
Menurutnya, ini menyebabkan paras air meningkat kepada 101.13 meter dengan kadar alir limpahan sebanyak 2,301 kaki padu sesaat atau 65.16 meter padu sesaat.
"Limpahan air tersebut akan mengalir melalui lembangan Sungai Muda dan tidak akan memasuki kawasan sawah padi,” katanya di sini pada Ahad.
Ismail memaklumkan, MADA sentiasa melakukan pemantauan dan akan memaklumkan kepada agensi berkaitan sekiranya limpahan mencapai paras berbahaya, selari dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelan Tindakan Kecemasan Keselamatan Empangan MADA.
"Bagi limpahan air membabitkan Empangan Muda, merekodkan kapasiti takungan sebanyak 121,675 ekar kaki bersamaan 97.34 peratus pada Sabtu, meningkat kepada 134,000 ekar kaki atau 107.20 peratus pada Ahad,” katanya.
Menurutnya, sementara bagi Empangan Pedu daripada 444,250 ekar kaki bersamaan 50.77 peratus pada Sabtu, meningkat kepada 450,375 ekar kaki atau 51.47 peratus.
Empangan Ahning sebanyak 203,964 ekar kaki bersamaan 91.46 peratus kepada 204,582 ekar kaki (91.74 peratus).
Ismail berkata, status keseluruhan kedudukan semasa takungan bagi ketiga-tiga empangan pada Sabtu adalah 769,889 ekar kaki bersamaan 62.95 peratus, namun meningkat kepada 788,957 ekar kaki atau 64.51 peratus.
"Secara puratanya, turunan hujan di tadahan Empangan Pedu, Muda dan Ahning masing-masing sebanyak 67 milimeter (mm), 130 mm dan 47 mm.
"MADA sentiasa menyalurkan maklumat awal kepada pihak-pihak terlibat berhubung kedudukan semasa takungan termasuk status empangan yang mengalami limpahan air,” katanya.