KTMB sedia laporan insiden penumpang tarik brek kecemasan ETS

Iklan
KTMB sedang menyiapkan laporan lengkap insiden seorang penumpang ETS yang sengaja menarik brek kecemasan ketika tren sedang bergerak, untuk diserahkan kepada APAD bagi tindakan lanjut. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sedang menyiapkan laporan lengkap insiden seorang penumpang tren elektrik (ETS) yang sengaja menarik brek kecemasan ketika tren sedang bergerak, untuk diserahkan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi tindakan lanjut.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin meminta semua pengguna tren KTMB tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu perkhidmatan tren semasa ia beroperasi.

Iklan
Iklan

"Pengguna tren yang didapati melanggar peraturan akan dikenakan tindakan tegas di bawah Seksyen 122 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 (Akta 715), iaitu boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menegaskan tindakan mana-mana individu menggunakan alat isyarat kecemasan secara tidak wajar dalam mana-mana koc atau tren kereta api yang disediakan untuk memberhentikan tren dalam keadaan kecemasan, adalah satu kesalahan di bawah akta tersebut.

Iklan

Insiden itu yang berlaku pada jam 11.25 malam semalam dan dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV), menyebabkan tren mengalami kelewatan selama 120 minit. Tren berkenaan dalam perjalanan dari KL Sentral ke Ipoh, berlepas pada jam 9.40 malam dan dijadualkan tiba di Ipoh pada jam 12.16 tengah malam.

Bagaimanapun, susulan insiden itu tren hanya tiba di Ipoh pada jam 2 pagi. - Bernama

Iklan