SHAH ALAM - Seramai 14 bakat muda yang berkelulusan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 bidang Teknologi Automotif berangkat ke China bagi melanjutkan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di peringkat Diploma Automotif Teknologi Pemeriksaan dan Penyelenggaraan.
Ketua Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir) Mohammad Rizan Hassan berkata, ia turut memfokuskan kepada kemahiran kenderaan elektrik hibrid (HEV), kenderaan elektrik bateri (BEV), kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) dan sel bahan api kenderaan elektrik (FCEV).
Menurutnya, ia berikutan inisiatif Institut Malaysia-China (MCI) yang berperanan sebagai platform kerjasama antara dua negara untuk membangunkan TVET yang diilhamkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"MCI digerakkan secara bersama oleh Belia Mahir, TANG International Education Group China dengan sokongan dan kerjasama institusi TVET serta industri dari China.
"Mereka akan menjalani latihan selama satu tahun secara sepenuh masa bertempat di Politeknik Tangshan Universiti, China dengan penajaan penuh serta elaun sara diri.
"Ia mengguna pakai pendekatan latihan Work Based Learning (WBL) yang turut melibatkan beberapa industri automotif terkemuka China sepanjang latihan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah Mohammad Rizan, kesemua pelajar terpilih itu tidak mempunyai latar belakang akademik yang baik dan tiada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bagaimanapun ujarnya, mereka membuat pilihan yang tepat dengan memilih laluan TVET di peringkat SKM menerusi pertauliahan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia.
"Ini membuktikan kepada seluruh masyarakat bahawa pensijilan SKM mampu memberi jaminan masa hadapan yang gemilang termasuk lanjutan ke luar negara,” katanya.
Mohammad Rizan memaklumkan Belia Mahir berkeyakinan bahawa lebih ramai lagi bakat muda TVET tempatan bakal melanjutkan latihan di China pada tahun 2025 hingga 2026.
Ujarnya, ia berdasarkan seramai 1,776 pelajar yang menjalani latihan jangka masa pendek antara dua minggu hingga tiga bulan dalam program Latihan TVET Belia Malaysia-China (MCYTT).
"Program ini sudah berlangsung sejak Julai tahun lalu sehingga sekarang,” katanya.