PELAKON tanah air, Azlan Komeng dan isterinya, Nur Nilam Ortiz terlibat kemalangan di Kuala Lipis pada Jumaat.
Kejadian malang itu dikongsi isterinya menerusi hantaran video di TikTok memberitahu suaminya patah kaki dan tangan akibat kemalangan tersebut manakala dirinya cedera ringan.
Dalam kejadian tersebut, pasangan tersebut menaiki kereta Perodua Kancil dan berada di daerah itu kerana menyertai festival makanan.
Nur Nilam memberitahu kenderaan jenis Perodua Kancil dipandu suami bertembung dengan sebuah kenderaan sewaktu dalam perjalanan ke tapak perniagaan.
"Kereta kami bertembung dengan kenderaan lain, dan saya pun tak ingat sama ada lori atau van.
"Keadaan saya stabil cuma ada sedikit luka dan bengkak, cuma suami saya kaki dan tangan dia patah. Keadaan suami saya masih teruk lagi," katanya.
Jelasnya, tindakan pantas suaminya yang cuba melindunginya ketika kemalangan telah menyelamatkan nyawanya.
"Masa kejadian itu, mungkin saya yang mati dahulu kalau dia tak guna badan dia untuk halang saya daripada dirempuh.
"Saya minta anda doakan saya dan suami saya, saya tak tahu macam mana saya nak hidup tanpa suami saya," katanya.
Dalam pada itu, pelakon tersebut menjawab ringkas dengan pesanan suara di aplikasi WhatsApp memberitahu akan pulang ke Batu Pahat, Johor untuk penjagaan seterusnya.
"Abang akan balik ke Batu Pahat dulu, tak ada orang tengok (jaga) di Kuala Lipis, adik-beradik boleh jaga, makan bulan juga," ujarnya lagi.
Sementara itu, pelakon, Sharifah Shahora berkongsi foto kenderaan pasangan terbabit yang remuk pada bahagian hadapan kereta dan Azlan yang sedang terbaring di katil wad dengan tangan dan kaki berbalut.
Shahora juga meminta penggiat seni dan semua pihak mendoakan agar pasangan itu segera sembuh supaya dapat meneruskan mencari rezeki.