PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seorang suri rumah yang ditahan reman selama tujuh hari enam malam dalam Op Global pada 11 September lalu mendakwa dipaksa menandatangani borang kosong oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai syarat jika mahu anaknya dipulangkan semula.
Surirumah, Ummu Hani Ramlan, 38, mendakwa, dia antara 96 ibu bapa yang ditahan ketika operasi dijalankan, namun mengakui tiada kena-mengena dengan gerakan GISB Holding Sdn Bhd (GISBH), sebaliknya sekadar sukarelawan anak syarikat dan menyewa di rumah kedai milik organisasi berkenaan pada harga murah.
Menurutnya, dia dan suami tidak dibenarkan bertemu keempat-empat anaknya berusia antara 8 hingga 15 tahun, malah hanya boleh mengetahui keadaan mereka menerusi adik kepada suaminya yang diamanahkan sebagai penjaga buat masa ini.
Jelas wanita berkenaan, dia tiada pilihan dan terpaksa mengikut kehendak pegawai JKM tanpa menyedari sudah dikelirukan oleh pihak terbabit.
"Polis bawa kami semua dan berkumpul di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Shah Alam. Ibu bapa dan anak-anak diasingkan. Pada waktu petang, JKM datang dan paksa tandatangan borang kosong kononnya prosedur. Selebihnya mereka memandai-mandai tanda butiran yang boleh mengakibatkan kami didakwa.
"Apabila baca semula, saya terkejut tiba-tiba disabitkan dengan pertuduhan mengabaikan kanak-kanak, tak masuk akal! Saya mak mestilah terasa sebab saya jaga dengan baik.
"Kemudian, mereka berbincang sekejap dan tanya kami mana satu pertuduhan yang lebih baik? Satu pun tak ada, semuanya mengarut," katanya.
Dia berkata demikian ketika sidang akhbar Gerakan Pulangkan Anak-Anak Kami (GPAAK) di Putrajaya pada Ahad.
Ummu Hani turut mendakwa, dia menjadi mangsa keadaan kepada operasi 'tersalah tangkap' itu dan sudah menjelaskannya kepada pegawai penyiasat (IO) tetapi respons diberikan adalah perlu merujuk kepada JKM terlebih dahulu.
Bagaimanapun, katanya, IO telah mengeluarkan surat penjelasan berhubung perkara berkenaan, tetapi tiada sebarang komunikasi dan panggilan daripada pegawai JKM terbabit sama ada anak-anak dibenarkan untuk dibawa pulang atau sebaliknya.
Tambah wanita tersebut, anaknya yang berusia 12 dan 15 tahun perlu menduduki ujian akhir tahun untuk kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh Integrasi serta Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) minggu depan, namun berkemungkinan tidak dapat berbuat demikian disebabkan tiada hak jagaan, bahkan peluang berjumpa.
"Walaupun adik suami jaga anak-anak, hak jagaan tetap tidak dapat kepada saya. Tak adillah.
"Kalau tengok keadaan anak-anak, mereka menangis nak ikut balik. Anak saya dan adik suami dah turun naik mahkamah serta diberikan surat perintah.
"Saya tak boleh buat apa-apa. Khamis depan, mereka nak jumpa tetapi saya yakin prosedur jadi lebih panjang," ujarnya.