'Bayi saya hidap Influenza B, JKM tak izinkan jumpa'

Iklan
Masyitah. FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB

PUTRAJAYA - Ibu kepada lima kanak-kanak yang ditahan semasa Op Global di Kampung Giching, Sepang mendakwa tidak diizinkan untuk bertemu anak-anak terutama bayinya yang berusia satu tahun enam bulan.

Masyitah Md Isa, 31, yang hanya bekerja sebagai sukarelawan pusat tahfiz mendakwa, sudah lebih sebulan dia tidak mendengar khabar tentang anak-anak, melainkan baru-baru ini bayinya disahkan dijangkiti Influenza B.

Iklan
Iklan

Wanita itu berkata, dia terpaksa 'merempuh' masuk pekarangan hospital demi melihat sendiri keadaan anak bongsu dan akhirnya diberikan tempoh melawat selama satu jam.

"Ketika itu, keadaan dia dah pakai tiub. Bayi saya masih menyusu badan, tetapi disebabkan saya mengandung, saya ajar guna botol susu. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada kata adik-beradik diasingkan di lokasi berbeza ikut peringkat umur.

Iklan

"Pegawai polis dan JKM kata di bawah perintah mahkamah dan ditahan mungkin sebab tinggal di rumah amal yang disabitkan dengan penderaan kanak-kanak.

"Tetapi, ada juga pegawai yang mempertikaikan kenapa anak ditahan kalau ada bersama mak," katanya.

Iklan

Dia berkata demikian ketika sidang akhbar Gerakan Pulangkan Anak-Anak Kami (GPAAK) yang diadakan di sini pada Ahad.

Masyitah turut memaklumkan, dia dan suami tidak terlibat sama sekali dengan ajaran atau gerakan GISB Holding Sdn Bhd (GISBH), namun merasa aneh kerana diperlakukan serta didakwa atas pertuduhan sama seperti ahli GISBH lain iaitu pengabaian kanak-kanak.

Tambahnya, ketika serbuan dibuat, dia diberitahu bahawa kesemuanya ditahan mungkin disebabkan mereka tinggal di rumah amal atau premis yang dikaitkan dengan pertuduhan mendera kanak-kanak.

"Alasan JKM tak bagi jumpa anak-anak pula kerana kami di bawah perintah mahkamah.

"Sebelum ini, ada pegawai penyiasat (IO) nasihat supaya tuntut anak saya sebab dia sendiri terkejut mengapa belum tuntut anak saya?

"Dia yang suruh saya bawa sijil beranak dan sijil nikah untuk tuntut anak di satu kawasan di Cheras. Bila saya pergi ke sana, pegawai JKM marah dan mengatakan tak boleh jumpa," ujarnya.