Nenek buta sebelah mata hebat menembak, rupanya bekas askar

Iklan
Li Guifang berjaya mencapai jumlah mata yang tinggi semasa menembak menggunakan peluru hidup di sebuah lapang sasar semasa dia dan anaknya melawat Kazakhstan baru-baru ini. Agensi

BEIJING - Seorang nenek berusia 92 tahun dan buta sebelah mata dari China berjaya mengejutkan netizen apabila mampu menembak sasaran hampir tepat seperti atlet sukan menembak yang lain.

Malah, nenek dikenali sebagai Li Guifang berjaya mencapai jumlah mata yang tinggi semasa menembak menggunakan peluru hidup di sebuah lapang sasar semasa dia dan anaknya melawat Kazakhstan baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Selepas tular di media sosial, baru lah anaknya mendedahkan bahawa ibunya dahulu adalah bekas seorang Tentera Sukarelawan Rakyat China (CPVA) dan pernah berkhidmat dalam perang Korea pada tahun 1950-an.

Video yang dimuat naik oleh anaknya, Wang di laman sosial Douyin pada Oktober lalu telah berjaya menarik setengah juta tontonan dan 20,000 komen yang memuji kemahirannya walaupun mencapai usia senja.

Iklan

Wang menceritakan, pada mulanya pihak pengurusan lapang sasar di Kazakhstan tidak membenarkan ibunya menembak atas faktor usia.

Bagaimanapun setelah diceritakan bahawa dia bekas seorang askar, mereka bersetuju memberikan selaras senapang kecil dan bantuan alat penglihatan serta jarak tembakan minimum.

Iklan

Wang menambah, pada mulanya ibunya berdepan masalah akibat katarak tebal di mata kanan dan dia terpaksa mendongak kepada dan hanya bergantung kepada mata kiri semasa menembak.

Semasa pusingan pertama, dia berjaya melepaskan 10 tembakan dan tujuh sasaran mengena di dalam garisan bulatan manakala tiga lagi tersasar. Jumlah mata terkumpul 97 mata.

Dalam pusingan lain, nenek itu sekali lagi mencapai markah tinggi iaitu 87 mata.

Perang Korea meletus pada tahun 1950 membabitkan Korea Utara dan Selatan. Pada masa itu, China bersekutu dengan Korea Utara dengan mengunakan barisan tentera CPVA.

Pada masa itu, CPVA terdiri daripada dua juta anggota dan mereka berumur antara 20-an yang menyertai sehingga perang tamat pada tahun 1953.

Wang menambah, semasa perang meletus ibunya bertugas sebagai pemberi isyarat dan tidak pernah ditempatkan di barisan hadapan.

"Tetapi dia pernah menerima latihan menembak dalam tentera. Dia juga tidak berlatih menembak selama beberapa dekad.

"Sebagai seorang veteran askar, dia masih mempunyai sedikit daya ingatan mengenainya,” kata Wang sambil menambah ibunya pernah melakukan penerjunan udara semasa berkhidmat dalam CPVA. - Agensi