SHAH ALAM - Struktur sementara atau falsework memainkan peranan penting dalam mengekalkan kestabilan bangunan yang sedang dibina bagi mengelakkan runtuhan berlaku.
Pegawai keselamatan bangunan, Muhammad Amin Mok Hallim berkata, struktur sementara membantu mengagihkan beban dihasilkan oleh bahan binaan dan pekerja serta mengelakkan tekanan berlebihan pada bahagian yang belum siap.
Iklan
Iklan
Menurutnya, dari segi keperluan undang-undang, struktur sementara perlulah direka bentuk dan diperakui oleh jurutera profesional yang merangkumi lukisan dan pengiraan yang selamat.
"Individu yang ditetapkan untuk membuat reka bentuk pula perlu dilantik oleh majikan atau kontraktor bagi memberikan perhatian kepada kerja-kerja struktur sementara ini.
"Pemasangan di kawasan pembinaan perlu mengikut reka bentuk yang diperakui oleh jurutera profesional mengikut keperluan yang tertulis dalam BS5975/BS 12812 atau mana-mana kod industri standard yang berkaitan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pekerja warga Bangladesh maut manakala dua lagi cedera dalam runtuhan bangunan tiga tingkat yang sedang dalam pembinaan di Melaka.
Tambah Muhammad Amin, bahan-bahan yang digunakan bagi kerja pemasangan struktur sementara perlulah mengikut piawaian standard seperti ditetapkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dengan memiliki sijil Perakuan Pematuhan Standard (PPS),” katanya.