KUALA LUMPUR - Isu penjawat awam muflis atau berada dalam kebankrapan bukan perkara baharu, namun sejak beberapa tahun ini masalah itu dilihat semakin membimbangkan.
Menurut Jabatan Insolvensi, kira-kira 10 hingga 13 peratus daripada kes kebankrapan baharu yang didaftarkan dalam tempoh empat tahun lalu membabitkan penjawat awam
Ketua Pengarahnya, Datuk M Bakri Abd Majid dipetik berkata, sesetengah kes itu melibatkan penjawat awam sendiri yang memohon diisytiharkan muflis bagi mengurangkan tekanan hutang yang ditanggung sejak sekian lama.
Pakar melihat isu kebankrapan, khususnya dalam kalangan penjawat awam, berpunca daripada keinginan untuk mengikut trend semasa dan bergaya, namun dikekang oleh pendapatan yang seterusnya mendorong mereka berhutang.
Rata-rata juga bagaikan berpegang pada prinsip 'biar papa, asal bergaya', membuatkan mereka tidak teragak-agak berhutang demi memenuhi keinginan, yang kemudian dikongsikan di media sosial sebagai lambang status.
Data Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menunjukkan dalam kebanyakan kes muflis, penggunaan kad kredit adalah antara penyumbang utama.
Menurut pakar kewangan Islam dan kewangan Islam korporat, Norasikin Salikin, mereka yang mudah terjebak dalam masalah ini ialah orang muda yang baru memasuki alam pekerjaan.
Mengulas lanjut, pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia itu berkata, tambah memburukkan keadaan, pekerja muda ini sering diuar-uar akan kepentingan kemudahan kewangan tersebut oleh institusi kewangan.
"Mereka yang baru mengenal atau baru memiliki kad kredit lazimnya sukar mengawal perbelanjaan, dan akhirnya penggunaan (kad kredit) itu akan mencapai had maksimum,” katanya dalam temu bual dengan Bernama, di sini baru-baru ini.
Katanya, rentetan hutang kad kredit yang tidak mampu dilangsaikan, mereka berkecenderungan membuat pinjaman peribadi bagi menyelesaikan bebanan hutang tertunggak itu.
Tambah beliau, ada juga penjawat awam yang bertindak membuat pembiayaan bertindih (overlap) bagi menyelesaikan pinjaman peribadi terdahulu.
"Situasi ini berlaku apabila hutang kad kredit telah diselesaikan dengan pinjaman peribadi yang pertama, namun tanpa sedar mereka masih menggunakan kad kredit untuk berbelanja. Jadi, mereka membuat overlapping pinjaman peribadi sebagai langkah melunaskan pinjaman peribadi sebelum ini dan hutang (baharu) kad kredit.
"Kitaran ini akan berlanjutan sehinggalah mereka tidak mampu lagi melunaskan semua hutang tersebut dan mereka akan berdepan dengan tindakan kebankrapan,” katanya.
Pada masa sama, Norasikin tidak menolak tindakan bank dan institusi kewangan yang bagaikan 'menyasarkan' penjawat awam menerusi pelbagai tawaran termasuk kadar faedah bayaran balik rendah, turut berpotensi menjerat golongan ini dalam beban hutang, khususnya hutang yang tidak perlu.
"Tidak dinafikan institusi kewangan turut menyumbang dalam isu ini. Promosi yang giat dijalankan oleh bank dan koperasi dengan kadar faedah rendah dan syarat yang mudah, secara tidak langsung menarik penjawat awam untuk membuat pinjaman,” katanya.
Tambah memudaratkan kata beliau, ada institusi kewangan yang tidak mengambil kira komitmen kewangan bakal peminjam sekiranya komitmen itu tidak tercatat di dalam penyata gaji.
"Sepatutnya pihak bank atau institusi kewangan membuat semakan komitmen kewangan menyeluruh serta mengetatkan nisbah hutang kepada 40 peratus sahaja daripada keseluruhan gaji, berbanding 60 peratus sekarang,” usul beliau.
Pandangan senada turut disuarakan pensyarah kanan di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia Dr Khadijah Md Ariffin yang berkongsi kebimbangan tentang kemudahan pinjaman yang ditawarkan oleh koperasi.
Beliau berkata, ini kerana institusi itu yang wujud bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, menjadi tumpuan penjawat awam untuk melakukan pinjaman.
Jelas beliau lagi, pinjaman koperasi lebih popular dalam kalangan penjawat awam kerana institusi itu menawarkan kadar faedah dan kriteria pinjaman yang lebih kompetitif berbanding bank.
Selain itu katanya, kebanyakan koperasi tidak mementingkan penilaian skor kredit bakal peminjam sebelum meluluskan permohonan.
"Bank mempunyai penilaian kredit yang agak ketat berbanding koperasi. Keperluan dokumen sokongan untuk sebarang permohonan pinjaman koperasi juga tidak sebanyak yang diminta oleh pihak bank.
"Ini yang membuatkan penjawat awam cenderung mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan tersebut. Sekiranya penjawat awam berkeupayaan membuat bayaran balik mungkin isu kebankrapan tidak akan terjadi,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Presiden Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah sebagai berkata, agensi itu menguruskan bayaran balik berjumlah RM1.2 bilion sebulan atau RM14.4 bilion setahun, melibatkan kira-kira 800,000 penjawat awam yang membuat pinjaman dengan pelbagai institusi kewangan dan koperasi.
Menurut Abdul Fattah, kebanyakan penjawat awam gred 41 ke bawah membuat pinjaman peribadi kerana gaji yang agak rendah dan jumlah kenaikan tahunan juga tidak seberapa.
Tiada ilmu kewangan
Mengulas lanjut, Khadijah berkata, ketiadaan ilmu menguruskan kewangan turut menjadi punca keberhutangan yang serius dalam kalangan penjawat awam.
Sehubungan itu katanya, cara yang paling strategik untuk menangani isu tersebut adalah dengan memberi pendedahan kepada mereka tentang pengurusan kewangan yang bijak.
"Kerajaan boleh mewajibkan semua kakitangan untuk menghadiri sekurang-kurangnya satu kursus pengurusan kewangan setiap tahun bagi mencapai Indeks Petunjuk Prestasi latihan masing-masing.
"Kursus ini boleh merangkumi pelbagai aspek pengurusan kewangan termasuk belanjawan, aliran tunai, strategi pembayaran hutang serta pengurusan simpanan dan pelaburan,’’ tambahnya.
Selain daripada itu, kerajaan boleh memanfaatkan fungsi AKPK dengan mengadakan libat urus bersama penjawat awam dari semasa ke semasa, memandangkan ramai penjawat awam mempunyai masalah kewangan namun tidak tahu atau malu untuk mendapatkan nasihat daripada agensi tersebut.
Beliau turut mengesyorkan penjawat awam yang dikenal pasti mempunyai hutang melebihi kadar ditetapkan agar diwajibkan menghadiri kursus kewangan bagi mengelakkan mereka diisytiharkan muflis.
"Kerajaan juga boleh menyediakan platform untuk memberikan sokongan emosi kepada mereka yang tertekan akibat masalah kewangan. Gangguan kesihatan mental ini memberikan impak kepada prestasi kerja penjawat awam yang akhirnya merugikan kerajaan sendiri,’’ katanya.
Kos sara hidup
Menyifatkan kegagalan pengurusan hutang dalam kalangan penjawat awam sebagai isu kompleks kerana ada masanya mereka terjerat dengan hutang yang tidak perlu, Khadijah berkata, ada antara mereka yang dicap sebagai kelompok 'tutup hutang lama buat hutang baharu' atas pelbagai alasan termasuk peningkatan kos sara hidup.
Malah katanya, kebanyakan kes terperangkap dalam keberhutangan yang tinggi adalah disebabkan oleh kegagalan mereka menganalisis tahap 'kesihatan kewangan' masing-masing, antaranya tidak mengambil kira komitmen kewangan dalam jangka panjang serta situasi ekonomi semasa negara dan dunia.
"Faktor kritikal ialah mereka ini tidak mengukur baju di badan sendiri.
"Kehendak yang kadangkala disalah tafsir menjadi keperluan juga membuatkan penjawat awam terjerat dengan hutang yang tidak perlu,’’ jelasnya.
Sementara itu, seorang penjawat awam yang hanya mahu dikenali sebagai Anis, 32, mengakui kadar gaji rendah antara faktor yang menyebabkan dia dan rakan sekerjanya mudah membuat pinjaman.
Kongsinya, bermula dengan pinjaman peribadi dalam jumlah kecil, dia seterusnya terperangkap dengan hutang mencecah puluhan ribu ringgit apabila membuat pinjaman seterusnya.
Keadaan itu membuatkan dia serik kerana mendapati amat sukar untuknya melunaskan pinjaman berkenaan.
"Bila gaji kecil susah nak beli apa-apa. Bila buat pinjaman dapatlah duit dalam jumlah besar, tetapi itulah... duit itu sekejap sahaja dah habis sedangkan nak bayar (balik) hutang bertahun-tahun lamanya.
"Banyak juga tengok rakan-rakan naik gaji sedikit sahaja terus buat hutang, mungkin (mereka) dah terbiasa berhutang. Bagi saya perlu elakkan berhutang... biarlah hidup biasa-biasa sahaja janji tidak sakit kepala (nak bayar hutang),” katanya.
Isu keberhutangan serius tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan penjawat awam kerana hal itu merupakan pelanggaran Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. - Bernama