Ringgit meningkat berbanding dolar AS berikutan prospek positif Belanjawan 2025

Iklan
Perhatian terhadap pengumuman belanjawan pada Jumaat ini akan mempengaruhi sentimen pasaran minggu ini. Gambar hiasan

RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar AS pada hari dagangan pertama minggu Belanjawan 2025, didorong oleh keyakinan bahawa kerajaan dijangka mengekalkan disiplin fiskal dan memastikan defisit fiskal di bawah empat peratus daripada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun depan.

Pada 8.05 pagi, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.2850/3010 berbanding dolar AS daripada 4.2865/2910 pada Jumaat lepas.

Iklan
Iklan

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, perhatian terhadap pengumuman belanjawan pada Jumaat ini akan mempengaruhi sentimen pasaran minggu ini.

Mengenai sentimen global, katanya, taklimat daripada Kementerian Kewangan China pada hujung minggu lepas tidak memberikan maklumat yang terperinci.

Iklan

Bagaimanapun, katanya komitmen untuk memulihkan ekonomi, terutamanya pasaran hartanah yang lemah, masih dapat dilihat.

"Pasaran menjangkakan rangsangan fiskal yang lebih baik untuk mengelak deflasi. Kadar inflasi China kekal mendatar pada 0.4 peratus pada September, turun daripada kenaikan sebanyak 0.6 peratus pada bulan sebelumnya.

Iklan

"Begitu juga, kadar inflasi teras berada pada 0.1 peratus, susut daripada 0.3 peratus sebelum ini,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, situasi di China dilihat memberi sokongan kepada dolar AS berikutan ekonomi AS yang dilihat lebih berdaya tahan dan Rizab Persekutuan AS dijangka mengelak penurunan kadar faedah yang agresif.

Indeks Dolar AS (DXY) kini berada pada 103.021 mata.

"Kali terakhir DXY berada pada 103 mata ialah pada Ogos. Berdasarkan situasi ini, ringgit dijangka diniagakan berhati-hati berikutan kebimbangan mengenai ekonomi China,” katanya.

Sementara itu, ringgit mengukuh berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia tinggi berbanding euro kepada 4.6784/6958 daripada 4.6886/6935 pada Jumaat lepas, naik berbanding yen Jepun kepada 2.8701/8810 daripada 2.8780/8812 dan meningkat berbanding pound kepada 5.5894/6102 daripada 5.6016/6075 sebelum ini.

Bagaimanapun, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2788/2915 daripada 3.2824/2861, bagaimanapun merosot berbanding baht Thailand kepada 12.8741/9334 daripada 12.8504/8704 pada Jumaat lepas.

Ringgit hampir tidak berubah pada 7.49/7.52 daripada 7.49/7.50 berbanding peso Filipina dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 275.0/276.1 daripada 275.1/275.5 pada Jumaat lepas. Bernama