3,942 projek pembangunan di bawah RMK12 sedang dalam pelaksanaan setakat 26 Ogos

Iklan
Sebanyak 3,942 projek daripada 8,593 projek pembangunan di bawah RMK12 sedang dalam pelaksanaan setakat 26 Ogos tahun ini. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Sebanyak 3,942 projek atau 45.9 peratus daripada 8,593 projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sedang dalam pelaksanaan setakat 26 Ogos tahun ini, kata Ketua Audit Negara pada Isnin.

Bagaimanapun, 169 projek daripada projek yang sedang dalam pelaksanaan menghadapi kelewatan jadual atau sakit (bermasalah), kata Ketua Audit Negara menerusi satu kenyataan berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2024 mengenai penyata kewangan kerajaan Persekutuan tahun 2023 yang dibentangkan di Parlimen, hari ini.

Iklan
Iklan

Sementara itu, 1,434 projek berada di peringkat pasca pelaksanaan, 3,085 projek di peringkat pra pelaksanaan dan 132 projek berstatus batal dan simpan dalam perhatian, menurut kenyataan itu.

Justeru, Ketua Audit Negara mengesyorkan agar pemantauan yang lebih rapi dan berterusan serta melaksanakan langkah intervensi dengan segera bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan di RMK-12 dapat disiapkan sepenuhnya menjelang akhir tahun 2025.

Iklan

"Prestasi keseluruhan projek RMK12 hanya akan dapat diukur pada penghujung tahun 2025. Sehubungan itu, pemantauan projek hendaklah dipertingkatkan bagi mencapai objektif yang ditetapkan," kata kenyataan itu lagi

Tambah kenyataan itu, di bawah Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK12 yang dibentangkan di Parlimen pada 11 September 2023, kerajaan telah memberikan penegasan terhadap usaha mempertingkatkan kecekapan pelaksanaan dan pemantauan khususnya pelaksanaan strategi dan inisiatif KSP RMK12.

Iklan

"Prestasi perbelanjaan projek RMK12 dari tahun 2021 hingga 2023 adalah sebanyak RM231.920 bilion melebihi peruntukan yang diluluskan sebanyak RM222.756 bilion bagi tempoh yang sama. Jumlah ini telah pun mencecah 55.9 peratus daripada jumlah siling peruntukan sebanyak RM415 bilion bagi pelaksanaan projek RMK12," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Audit Negara turut mengemukakan 260 syor untuk dipertimbangkan pelaksanaannya oleh kementerian/jabatan/agensi serta syarikat kerajaan negeri.

Sebanyak 13 penyata kewangan kerajaan negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2023 telah dikemukakan antara bulan Januari hingga Jun 2024. - Bernama


LKAN syor segera laksana langkah intervensi, pastikan projek di bawah RMK12 siap ikut jadual

KUALA LUMPUR - Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2024 mengesyorkan agar langkah intervensi segera dilaksanakan bagi memastikan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) termasuk projek lewat jadual (sakit), dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Menurut laporan itu, berdasarkan prestasi pelaksanaan projek pembangunan RP4 (rolling plan) RMK12 pada 26 Ogos 2024, sebanyak 169 projek atau 4.3 peratus berstatus Lewat Jadual (Sakit), 114 projek (2.9 peratus) bersatus Lewat Jadual dan 258 projek (6.5 peratus) berstatus Tiada Kemajuan.

Sehubungan itu, LKAN turut mengesyorkan supaya Ketua Setiausaha Kementerian atau Ketua Jabatan (Pegawai Pengawal) membuat pemantauan yang lebih rapi dan berterusan.

"Ia bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan di bawah RMK12 dapat disiapkan sepenuhnya menjelang akhir tahun 2025 seperti mana yang telah dirancang.

"Kementerian dan jabatan bertanggungjawab hendaklah mengemas kini maklumat dalam sistem MyProjek dari semasa ke semasa bagi memastikan prestasi pelaksanaan projek dilaporkan dengan tepat,” menurut laporan itu yang dibentangkan di Parlimen pada Isnin.

Selain itu, LKAN melaporkan sehingga akhir tahun 2023, sebanyak 2,442 projek atau 29.5 peratus adalah di peringkat pasca pelaksanaan, 3,404 projek (41.1 peratus) sedang dalam pelaksanaan, 2,323 projek (28.1 peratus) di peringkat pra pelaksanaan manakala 110 projek (1.3 peratus) adalah berstatus batal dan disimpan dalam perhatian.

LKAN turut menyatakan prestasi perbelanjaan projek bagi tempoh 2021 hingga 2023 adalah sebanyak RM231.920 bilion, iaitu melebihi peruntukan RM222.756 bilion yang diluluskan bagi tempoh yang sama.

Menurut laporan itu, jumlah tersebut mencecah 55.9 peratus daripada jumlah siling peruntukan sebanyak RM415 bilion bagi tempoh RMK12 selepas Kajian Separuh Penggal RMK12. - Bernama