Lepas Patin Siam di Tasik Bandaraya Shah Alam undang risiko

Iklan
DOF kecewa dengan tindakan pihak yang melepaskan ikan asing iaitu Patin Siam ke dalam Tasik Bandaraya Shah Alam, baru-baru ini.

SHAH ALAM – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) kecewa dengan tindakan pihak yang melepaskan ikan asing iaitu Patin Siam ke dalam Tasik Bandaraya Shah Alam, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, tindakan itu bukan sahaja mengancam ekosistem tasik tetapi juga menimbulkan risiko kepada spesies tempatan dan keseimbangan biodiversiti.

Iklan
Iklan

"Pelepasan ikan asing tanpa kawalan boleh mengakibatkan persaingan sumber makanan dan habitat dengan spesies tempatan, serta membawa penyakit baru yang boleh menjejaskan populasi ikan asal," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Noraisyah berkata, pihaknya menggesa orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya melepaskan ikan asing atau haiwan lain ke dalam tasik atau mana-mana sumber air awam.

Noraisyah

Iklan

"Pihak berkuasa juga akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang bagi mencegah tindakan seumpama ini daripada berulang," katanya.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang berhasrat untuk membuat pelepasan umum, dinasihatkan merujuk Jabatan Perikanan terlebih dahulu bagi memastikan spesies ikan yang hendak dilepaskan itu adalah spesies ikan asli Malaysia di perairan tersebut.

Iklan

"Kerjasama semua pihak amat diperlukan untuk memastikan kelestarian ekosistem tasik dan perlindungan spesies tempatan," katanya.

Spesies ikan asing

Noraisyah berkata, Jabatan Perikanan Selangor akan terus menjalankan program kesedaran awam mengenai kepentingan menjaga ekosistem akuatik dan tindakan yang perlu diambil untuk memelihara biodiversiti.

"Sebarang maklumat atau laporan mengenai aktiviti pelepasan ikan asing boleh disalurkan kepada Jabatan Perikanan Negeri Selangor di talian 03-5519 0169/70 atau melalui email di ppn_selangor@dof.gov.my," katanya.

Sebelum itu, tular pelepasan ikan Patin Siam bagi pertandingan memancing di Tasik Bandaraya Shah Alam.

Pelepasan ikan itu turut diuarkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi satu posting di Facebook rasminya.