KUANTAN - Jalan Pintasan Kuantan berhampiran Bukit Rangin di sini yang sering dijadikan litar mat rempit berlumba digempur polis pada Sabtu dan Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam Operasi Samseng Jalanan bermula jam 11 malam hingga 6 pagi itu, 23 penunggang bersama motosikal masing-masing ditahan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati ada penunggang yang ditahan tidak memiliki lesen memandu selain menggunakan motosikal diubah suai dan ekzos bising.
"Dalam operasi itu, 100 kenderaan termasuk 75 motosikal diperiksa dan 104 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
"Saman tertinggi kesalahan tiada cermin sisi dengan 23 kes diikuti nombor pendaftaran (20 kes), pelekat P/L (19 kes), lesen memandu (18 kes), ekzos bising (10 kes), motosikal ubah suai (7 kes), cukai jalan (4 kes) dan tiada polisi insurans (1 kes)," katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, tiada tangkapan dilakukan atas kesalahan memandu atau menunggang secara melulu dan berbahaya dalam operasi tersebut.
"Operasi berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini," katanya.