Polis siasat scammer jual beg tangan mewah guna Instagram

Iklan
Ramli

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima laporan berhubung kegiatan penipuan dalam talian mengenai penjualan beg tangan yang menggunakan medium media sosial Instagram (IG).

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, semakan mendapati terdapat empat kes direkodkan dengan jumlah kerugian keseluruhan RM7,550.

Katanya, satu kes merekodkan kerugian paling besar iaitu RM5,195 dan laporan dibuat di Balai Polis Hulu Kelang.

Iklan

"Siasatan sedang dijalankan termasuk mengenal pasti suspek yang terlibat.

"Mana-mana individu yang menjadi mangsa penipuan ini digesa untuk membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dilaksanakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Sinar Harian pada Jumaat lalu melaporkan seorang wanita diperdaya oleh pemilik akaun IG tersebut bagi pembelian beg tangan mewah.

Pemilik akaun itu menawarkan perkhidmatan pembeli persendirian bagi membeli beg mewah tersebut di luar negara.

Mangsa terpedaya dengan tawaran separuh harga yang diberikan oleh pembeli persendirian tersebut.

Suspek menggunakan taktik dengan memaparkan testimoni daripada pelanggan lain yang berpuas hati dengan khidmat diberikan termasuk menyatakan penghantaran cepat serta barang selamat sampai.

Bagaimanapun, selepas membuat transaksi pemindahan wang ke dalam akaun yang diberi suspek, nombor telefon dan akaun IG mangsa telah disekat.