Jawatan JPKK: Biar pimpinan Kerajaan Perpaduan tentukan

Iklan
Rizam (depan, tiga dari kiri) bergambar bersama penerima semasa Majlis Penyampaian Baucar Deepavali di sebuah pasar raya di sini pada Isnin.

SABAK BERNAM - Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail menyerahkan sepenuhnya kepada pimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan menentukan keputusan bagi 10 jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang kini disandang UMNO.

Rizam berkata, terpulang kepada pimpinan parti bagi membincangkan segala keputusan mengenainya dengan semangat keluarga dalam komponen BN-PH (Barisan Nasional-Pakatan Harapan).

Iklan
Iklan

"Saya meraikan setiap pandangan daripada rakan gabungan (PH) dan pandangan itu kita akan perhalusi," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Baucar Deepavali di sebuah pasar raya di Sungai Besar di sini pada Isnin.

Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar berkata, perkara itu tidak sepatutnya diperbesarkan kerana peranan dan fungsi ketua kampung yang dilantik bertujuan memberikan khidmat kepada rakyat.

Iklan

Beliau memberitahu, pada masa ini hanya terdapat 10 sahaja lantikan pengerusi JPKK di daerah Sabak Bernam daripada UMNO.

"Sebenarnya tidak kiralah daripada parti mana pun (BN atau PH) dilantik, tetapi paling penting mereka dipilih itu menjalankan tanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat.

Iklan

"Mereka dilantik mestilah memastikan kebajikan rakyat diberi keutamaan selain dari segi (kemajuan dan) pembangunan kampung.

"Sesiapa pun yang sudah dilantik semuanya berkhidmat untuk kerajaan sama juga seperti Exco kerajaan Selangor, semua (dilantik) tidak kira daripada parti mana, akhirnya bila diberi kepercayaan dan amanah, kita masing-masing menjalankan tugas demi rakyat," ujar beliau.

Terdahulu, Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Sabak Bernam, Ahmad Mustain Othman memaklumkan, Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) cabang itu pada 6 Oktober lalu meluluskan usul meminta pimpinan mengembalikan semula 10 jawatan Pengerusi JPKK disandang UMNO kepada PH di daerah berkenaan.

Ahmad Mustain berkata, jawatan Pengerusi JPKK seharusnya diserahkan kepada PH berikutan UMNO turut melantik Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) di kampung sama.

"Kami beranggapan tidak adil dalam satu kampung dilantik Pengerusi JPKK dan JPKKP daripada UMNO.

"Usul ini bukan untuk menimbulkan ketegangan dalam Kerajaan Perpaduan, tetapi situasi menang-menang ini akan dapat memperkukuhkan lagi persefahaman di antara PH dan UMNO," ujar beliau.