Kes Hafidz Roshdi pukul bekas isteri diteruskan, hakim perintah Nurul Shuhada hadir perbicaraan

Iklan
Hafidz Rosdi (kiri) hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pada Isnin bagi prosiding kes mencederakan bekas isterinya Nurul Shuhada pada Mac tahun lalu.

KUALA KUBU BHARU - Bekas isteri pelakon Hafidz Roshdi dikehendaki hadir ke Mahkamah Majistret di sini pada 20 Januari tahun depan, untuk prosiding mencederakan Nurul Shuhada Mat Shukri, pada Mac tahun lalu.

Majistret, Nurul Izzah Hasan Basri memerintahkan demikian selepas peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Hafidz, 30, berkata, Nurul Shuhada, 30, telah menarik balik laporan polis dan tidak mahu meneruskan kes berkenaan, 6 Julai lalu.

Iklan
Iklan

"Dia merupakan saksi utama dalam prosiding ini, yang mana kebiasaannya pendakwaan akan menarik balik pertuduhan selepas pengadu tidak mahu meneruskan kes.

"Jika tarikh perbicaraan ditetapkan, saya mohon pihak pendakwaan mengesahkan dokumen termasuk laporan tarik balik kes terlebih dahulu, agar tidak membuang masa mahkamah,” katanya.

Iklan

Selain kes berkenaan, beliau berkata, pengadu juga telah menyelesaikan kes sivil secara baik dengan anak guamnya, di luar mahkamah pada 18 Jun lalu.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Eirene Nabila Amani Wiliams-Hunt memaklumkan, representasi Hafidz, 30, supaya Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik semua pertuduhan telah ditolak.

Iklan

"Bagi keputusan representasi itu, kami mendapat arahan bahawa pihak AGC menolak permohonan berkenaan.

"Susulan itu, saya mohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan bagi kes ini,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Nurul Izzah memerintahkan Nurul Shuhada hadir pada prosiding akan datang dan menetapkan 20 Januari 2025 untuk perbicaraan kes.

Sementara itu, ketika ditemui di luar, Akberdin berkata, pengadu diminta hadir untuk mengesahkan laporan tarik balik kes terbabit.

Pada dua bulan lalu, Nurul Shuhada tekad menetap di Australia bersama dua anaknya, selepas melalui episod sedih berdepan perceraiannya bersama bekas suami.

Tambahnya lagi, dia kini mengakui kehidupannya semakin baik walau berada jauh di rantau orang bagi menyambung pengajiannya di sana.

Hafidz hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pada Isnin, bersama ibu bapa dan peguamnya bagi prosiding kes mencederakan bekas isterinya, pada Mac tahun lalu.