Pelupusan saham Astronautic Technology, kerajaan Persekutuan rugi RM112.53 juta

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Kerajaan Persekutuan mengalami kerugian berjumlah RM112.53 juta bagi pelupusan saham Astronautic Technology (M) Sdn Bhd, melibatkan nilai nominal saham berjumlah RM112.58 juta telah dijual pada harga RM50,000.

Pelupusan saham Astronautic Technology pada nilai nominal RM50,000 adalah berdasarkan nilai bersih semasa, dengan segala aset dan liabiliti syarikat tidak dikenakan surcaj.

Iklan
Iklan

Sehubungan itu, pelupusan tersebut adalah berdasarkan penurunan nilai muhibbah sahaja, menurut Analisis Kewangan Kerajaan Persekutuan.

"Pelupusan saham berkenaan telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Ogos 2019.

Iklan

"Ini adalah kerana tiada keperluan strategik untuk kerajaan Persekutuan terus memiliki syarikat Astronautic Technology dalam agenda memperkasa industri angkasa negara melalui pembangunan satelit penderiaan jauh," kata laporan itu.

Astronautic Technology ialah syarikat milik penuh kerajaan Malaysia di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan, yang diselia oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Iklan

Mandat utamanya adalah untuk membangunkan teknologi angkasa lepas dan satelit yang memfokuskan dalam penyelidikan dan pembangunan yang menggunakan teknologi canggih serta inovatif untuk industri angkasa lepas. - Bernama