Melaka negeri keempat isytihar GISBH sesat, ada persamaan Al-Arqam

Iklan
Abdul Halim ditemui pada Seminar Pendidikan Fatwa Kontemporari Sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri di (MITC) Ayer Keroh pada Isnin.

MELAKA - Melaka menjadi negeri keempat mengisytiharkan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sebagai sesat.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, perkara itu diputuskan kerana terdapat amalan persamaan dengan ajaran Al-Arqam yang difatwakan haram di negeri ini pada tahun 1994.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, ia diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri yang diadakan pada 3 Oktober dan kini dalam proses untuk dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

"Seterusnya perkara itu akan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bahawa GISBH adalah sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan hukum syarak.

Iklan

"Kita melihat ada beberapa perkara iaitu dalam elemen GISBH dan mungkin ada beberapa elemen lain ada juga serpihan-serpihan daripada kumpulan Al-Arqam khususnya daripada keluarga Ashaari Muhammad.

"Ada juga persamaan ciri-ciri yang dipegang oleh pengikut-pengikut bekas Al-Arqam dan Rufaqa," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Seminar Pendidikan Fatwa Kontemporari Sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini pada Isnin.

Jelasnya, meskipun mereka telah mendaftar ataupun menjenamakan pertubuhan itu sebagai GISBH, namun pihaknya mengambil ketetapan tersebut kerana terdapat persamaan dari sudut kepercayaan, amalan, pegangan mereka, wirid dan sebagainya dengan ajaran sesat Al-Arqam.

Ujarnya, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) juga akan memberi tumpuan kepada langkah -langkah pemulihan kepada ahli-ahli GISBH yang kemungkinan berdepan kesukaran unutk kembali ke pangkal jalan.

"Perkara-perkara ini akan diselusuri Jaim dengan cara berhemah selain membuat pemantauan.

"Jadi saya menyeru kepada masyarakat Islam di negeri Melaka supaya memastikan diri kita, keluarga kita, anak kita bebas daripada elemen-elemen ajaran sesat," katanya lagi.

Pada bulan lalu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis mengisytiharkan GISBH sebagai ajaran sesat, sekali gus negeri pertama yang mengeluarkan fatwa itu diikuti Selangor dan Pahang.