Editor video Astro Awani meninggal dunia kemalangan

Iklan
Allahyarham Ahmad Hafiz Azhar, 36, maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 8.5 Lebuhraya Maju Ekspres (MEX) pagi tadi.

KUALA LUMPUR - Astro Awani kehilangan seorang kakitangan yang dedikasi, Ahmad Hafiz Azhar Nordin yang meninggal dunia, pada awal pagi ini.

Allahyarham Ahmad Hafiz Azhar, 36, yang juga Editor Video di Astro Awani dipercayai maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 8.5 Lebuhraya Maju Ekspres (MEX) sekitar jam 7.09 pagi tadi.

Iklan
Iklan

Ketika kejadian, Allahyarham Ahmad Hafiz Azhar atau lebih mesra dikenali sebagai Randy dalam kalangan rakan sekerja sedang dalam perjalanan ke tempat kerja dengan menunggang motosikal.

Menurut laporan perubatan hasil proses bedah siasat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HUKM), punca kematian Ahmad Hafiz Azhar akibat kecederaan di kepala dan dada ekoran kemalangan itu.

Iklan

Jenazah Allahyarham Ahmad Hafiz Azhar juga dimandi dan dikafankan di HUKM sebelum dibawa pulang ke kampung halaman Allahyarham di Alor Gajah, Melaka untuk dikebumikan di sana.

Pemergian Allahyarham Ahmad Hafiz Azhar disifatkan Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail sebagai kehilangan besar buat keluarga Astro Awani.

Iklan

Sambil merakamkan ucapan takziah dan duka yang mendalam buat keluarga Ahmad Hafiz Azhar, Ashwad berkata, Astro akan membantu menguruskan segala urusan berkaitan pengebumian Allahyarham.

"Allahyarham Ahmad Hafiz Azhar ialah seorang rakan sekerja yang amat berdedikasi serta memiliki keperibadian yang menawan. Kami akan merasakan pemergiannya.

"Semoga ALLAH SWT akan mencucuri roh dan menempatkan Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang beriman,” kata Ashwad.

Allahyarham Ahmad Hafiz Azhar meninggalkan isteri, Nur Farrah Hanna Ibrahim, 35, serta dua anak lelaki, Noah Anaqi, 5, dan Nael Azraf, sembilan bulan.

Sebelum berkhidmat dengan Astro Awani, Allahyarham pernah bertugas di agensi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) selama tiga tahun.

Beliau juga terlibat dalam kerja-kerja sukarela bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan menyandang pangkat Leftenan Muda Pasukan Sukarelawan Maritim Malaysia (PSMM). - Awani