Kanak-kanak perempuan cedera diserang monyet

Iklan
Kesan darah di lantai akibat kejadian itu (kiri), Kecederaan yang dialami oleh Marissa akibat diserang monyet.

SEREMBAN - Seorang kanak-kanak perempuan cedera di kaki selepas diserang seekor monyet yang tiba-tiba masuk ke pekarangan rumahnya di Taman Warisan Puteri di sini pada Ahad.

Kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu berlaku semasa Nur Keisha Marissa Mohd Irfan, 10, membantu ibunya Nurul Farahana Zaini, 35, mengangkat pakaian di ampaian.

Iklan
Iklan

Menurut Nurul Farahana ketika itu dua lagi adiknya yang berusia lima dan dua tahun turut berada di pekarangan rumah.

"Dalam situasi cemas itu, saya lihat Marissa cuba menyelamatkan dua adiknya daripada dicederakan binatang liar berkenaan sehingga menyebabkannya cedera di bahagian kaki kirinya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Kehadiran monyet di kediaman Nurul Farahana sehingga menyebabkan anaknya cedera.

Iklan

Katanya, dia bergegas membawa anaknya itu ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) bagi mendapatkan rawatan lanjut selepas mendapati kecederaan yang dialami anaknya agak serius.

"Marissa terpaksa ditahan wad kerana lukanya dalam selain perlu dijahit dan dipantau dalam tempoh seminggu ini bagi mengelakkan jangkitan kuman," katanya.

Iklan

Ujarnya, laporan mengenai kehadiran monyet di kawasan perumahannya itu sebelum ini telah dimaklumkan kepada jabatan bertanggungjawab dan berharap tindakan sewajarnya dapat diambil oleh pihak berkenaan bagi mengelakkan insiden sama berulang.